LUQMAN (kanan).
LUQMAN (kanan).
Oleh Firdaus Hashim


TIADA istilah menghalang atau sengaja menyekat perkembangan karier penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin selepas kelab Liga Satu Belgium, KV Kortrijk membuka semula pintu buat pemain itu menyertai mereka.

Luqman, 18, yang sudah menandatangani kontrak dengan Selangor II pada Mac lalu kini didakwa tersepit berikutan beberapa syarat baharu yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kepada KV Kortrijk.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, ada beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum membenarkan Luqman berangkat ke Belgium.

"Benar KV Kortrijk ada hubungi kita (FAS) tetapi kita mungkin perlu berbincang beberapa perkara. Ini demi kebaikan kariernya kerana kita mahu berikan yang terbaik buat Luqman. Ia bukan soal bayaran pampasan atau apa-apa, tetapi perkara lain.

"Saya tak boleh maklumkan lagi apa isi perbincangan itu kerana ia masih di peringkat rundingan. Tapi yang ingin saya tegaskan, FAS tak pernah nak halang Luqman untuk meraih pengalaman di luar negara. Kita amat galakkan dan ini peluang terbaiknya untuk kembangkan bakat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, KV Kortrijk bakal memulakan latihan pramusim pada Selasa minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 7:30 AM