Zhi Yu (kiri) dan Balachandar, penuntut Malaysia yang terkandas di Wuhan, China. FOTO Ihsan Pembaca
Zhi Yu (kiri) dan Balachandar, penuntut Malaysia yang terkandas di Wuhan, China. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

“SEBENARNYA, ia rutin yang sama setiap hari... bangun, cari berita terkini dan membaca buku, makan, itu sahaja.

“Sekali-sekala saya akan melihat keluar tingkap untuk melihat apa yang sedang berlaku, tetapi tidak ada sebarang aktiviti di sana,” kata penuntut Malaysia, Ivan Yeo Zhi Yu, 19, dari Universiti Geosciences China di Wuhan, China.

Itu reaksi diberi Zhi Yu yang berkongsi pengalamannya yang kini terpaksa berkurung di bilik kolej kediaman universiti itu sejak Tahun Baru China lalu.

Zhi Yu yang berasal dari Bintulu antara 78 penuntut dari Malaysia yang kini terkandas di Wuhan dan tidak dapat keluar daripada wilayah itu berikutan ancaman penularan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Sejak 22 Januari lalu, Zhi Yu ‘terperangkap’ dan tidak pernah keluar dari kolej kediaman universiti bersama rakan pengajian yang juga dari Sarawak, Balachandar Subramaniyan, 43.

Zhi Yu berkata, hampir 200 penuntut asing yang belajar di universiti itu berkurung di bilik masing-masing dan tidak kelihatan penuntut berlegar di luar kolej kediaman, sejak 22 Januari lalu.

Menurutnya, pegawai dari pihak berkuasa negara itu ada datang menemui mereka untuk mengemas kini maklumat terkini penularan koronavirus baharu, selain pekerja yang datang ke situ untuk membersihkan kawasan universiti.

“Bagi persiapan makanan dan minuman, kami perlu menyelesaikannya sendiri.

“Bagaimanapun, mereka (pihak berkuasa China) memberikan kami penutup hidung dan mulut,” katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi Messenger, hari ini.

Ditanya mengenai bekalan makanan, Zhi Yu berkata, dia hanya ada bekalan mi segera dan susu yang sekadar mampu bertahan untuk 15 hari sahaja.

Penuntut Sarjana Muda Geografi dan Sains Alam Sekitar itu berkata, dia juga perlu bijak menguruskan rutin pemakanan supaya tidak kehabisan bekalan sehingga bantuan tiba.

“Sebenarnya, Kedutaan Malaysia cuba untuk menghantar bekalan makanan kepada saya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana masalah pengangkutan (berikutan laluan keluar masuk ke Wuhan ditutup sejak 22 Januari).

“Saya dimaklumkan, Kerajaan (Malaysia) merancang untuk memindahkan kami. Saya berharap semuanya berjalan lancar dan baik,” katanya.

Menurut Zhi Yu, dia kerap berhubung dengan keluarganya di Bintulu untuk memaklumkan situasi terkini dirinya, selain berkomunikasi dengan Balachandar setiap hari menerusi WeChat.

“Dia (Balachandar) bimbang keadaan akan bertambah buruk,” katanya ketika ditanya mengenai Balachandar, penuntut pengajian doktor falsafah (PhD) yang menetap di universiti bersama isteri dan dua anaknya.

Balachandar adalah seorang ahli geokimia yang bekerja di Sarawak sejak 2003 dengan Jabatan Mineral dan Geosains, dijangka melengkapkan pengajiannya dalam Geofizik, September ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Kerajaan sudah berbincang dengan China mengenai pemindahan 78 penuntut Malaysia di Wuhan, pusat penularan wabak itu.

Bagaimanapun, belum ada respons dari China berhubung perkara itu.

Selepas pemindahan yang dirancang, warga Malaysia akan dikuarantin selama 14 hari dan hanya dibenarkan pulang selepas didapati bebas daripada jangkitan wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 1:55 PM