PROGRAM B4G berakhir kelmarin.
PROGRAM B4G berakhir kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 195,471 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara berdaftar dalam program Back For Good (B4G) yang berakhir kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Jim) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, seramai 165,040 PATI sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Setakat ini, 30,431 Pati masih menunggu untuk dihantar pulang ke negara mereka. Proses penghantaran bergantung kepada tarikh tiket penerbangan yang ditempah.

“Lima negara merekodkan jumlah Pati paling ramai berdaftar dalam program ini adalah Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India dan Pakistan yang kebanyakan terdiri daripada golongan pekerja,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi di bangunan komersial serta kediaman di Puchong di Serdang, semalam.

Khairul Dzaimee berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan B4G, pihaknya ada menerima aduan berhubung kewujudan ulat yang berperanan sebagai perantara bagi mempercepatkan proses pendaftaran program itu.

“Lima individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing ditahan untuk diambil keterangan selepas didapati menjadi perantara atau ejen.

“Mereka didapati melakukan kegiatan itu (sebagai perantara) di pejabat JIM di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Disember bertujuan mengurangkan Pati di negara ini.

Pati berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi masing-masing sebelum menyerahkannya kepada pejabat imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun RM700 dan menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan pintu masuk bagi mengatasi masalah kemasukan pelancong warga China dan India yang didapati terus tinggal di negara ini.

“Tindakan yang akan diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan memperketatkan kawalan pintu masuk negara iaitu memastikan pelancong yang masuk menggunakan pas lawatan sosial mengikuti peraturan ditetapkan.

“Individu menggunakan pas itu wajib mempunyai tempat tinggal sepanjang tempoh berada di sini seperti hotel dan mempunyai kewangan yang kukuh bagi menampung perbelanjaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:04 AM