FARIZAL. FOTO Aizuddin Saad
FARIZAL. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim

PEMENANG anugerah Penjaga Gol Terbaik di majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, Farizal Marlias tidak meletakkan harapan terlalu tinggi bagi mempertahankan kemenangan pada saingan ABK tahun ini.

Menurut pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi gelaran Penjaga Gol Terbaik pada 2009, 2015 dan 2018 itu, saingan kali ini dilihat sengit kerana prestasi cemerlang ditampilkan ramai penjaga gol lain termasuk dua lagi calon akhir, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tambahnya, itu semua terpulang kepada panel pemilih sambil mengaku sudah memberikan segala-galanya sepanjang bersama JDT.

“Bagi saya, peluang untuk menang adalah 50-50 kerana ramai juga yang bermain dengan baik pada musim ini seperti Helmi Eliza (Pahang) dan Khairul Azhan Khalid (Selangor). Saya tidak boleh bersikap terlalu yakin untuk menang sekali lagi kerana semua orang ada peluang sama rata kerana ini semua berdasarkan undian,” katanya.

Farizal buat masa ini menjadi penjaga gol kedua di belakang Khairul Fahmi Che Mat yang paling banyak memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik sejak ABK mula diperkenalkan pada 2005.

Khairul Fahmi yang kini bersama Melaka United, memenangi gelaran itu sebanyak lima kali termasuk pencapaian hebat dari 2010 hingga 2013 dan kali terakhir pada 2016.

Dalam pada itu, Farizal turut berkongsi detik manisnya memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik pada kali pertama iaitu 2009 ketika bersama Perlis yang menjadi batu loncatan dalam kariernya sehingga dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Masih ingat lagi pada waktu itu umur saya baharu 22 tahun dan terkejut saya mampu meraih gelaran berkenaan kerana kita mempunyai ramai penjaga gol yang hebat seperti Helmi Eliza.

“Bagaimanapun, kejayaan pada 2009 itu saya anggap hasil daripada langkah berani keluar daripada Shahzan Muda tahun sebelumnya bagi mencari pengalaman baharu.

“Tahun itu menjadi permulaan buat segala-galanya dalam karier kerana Datuk K Rajagobal turut memanggil saya menyertai pasukan negara, ” katanya.

Selain itu, anugerah yang dimenangi pada 2015 turut menjadi detik paling istimewa buat Farizal kerana dia juga memenangi Piala AFC bersama JDT.

Malah, pada ABK 2015, JDT membolot semua kategori utama yang dipertandingkan termasuk Safiq Rahim dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP).

ABK 2019 yang menjadi acara kemuncak arena bola sepak tanah air bakal berlangsung pada 15 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:15 AM