QASEH Nurdania menunjukkan trofi yang dimenanginya dalam acara peragaan.
QASEH Nurdania menunjukkan trofi yang dimenanginya dalam acara peragaan.
Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukan mahu mengejar populariti sebaliknya ia hanya untuk menambah tahap keyakinan diri bagi berdepan dengan dunia semakin mencabar.

Demikian kata ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan yang mempunyai bakat dalam bidang peragaan hingga memperoleh pelbagai anugerah termasuk ditawarkan menjadi pelakon watak hantu bagi sebuah filem produksi dari Hong Kong selain duta produk kecantikan dan pakaian.

Jasmin Tahir, 42, dan suaminya Bunohajar Kadir, 45, melihat bakat semula jadi yang dimiliki anak perempuan tunggal mereka, Qaseh Nurdania Bunohajar yang berusia tujuh tahun dalam bidang peragaan.

Menurut Jasmin, pada ketika itu anaknya baharu saja berusia empat tahun dan teruja melihat gelagat puterinya yang suka melaram di depan cermin dengan mengenakan solekan pada wajah.

“Apabila melihat telatah anak, saya mula terfikir apa yang dilakukan itu sebenarnya adalah bakat seseorang kanak-kanak yang mahu menonjolkan dirinya.

“Kadang-kala kita fikir yang perbuatan itu seperti mengada-ngada namun apabila diasah ia sebenarnya adalah bakat yang mampu dipertontonkan demi menaikkan semangat serta keyakinan diri untuk mereka yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kuala Muda, Penaga, di sini.

 JASMIN  dan Bunohajar  bersama anak mereka, Qaseh Nurdania ketika ditemui di Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, semalam.
JASMIN dan Bunohajar bersama anak mereka, Qaseh Nurdania ketika ditemui di Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, semalam.

Pengusaha kedai makan itu berkata, walaupun terdapat pelbagai kecaman dan kata-kata sinis namun dia tidak mempedulikan semua itu sebaliknya turut membantu kanak-kanak cilik lain di sekitar negeri utara bagi mengetengahkan apa jua bakat diperoleh mereka.

“Apa yang saya buat ini bukan sebab nak anak saya popular macam artis ternama tetapi saya cuma nak bina keyakinan diri supaya dia dapat berdepan dengan semua orang apatah lagi masa depan kini sangat mencabar.

“Selain itu, pada masa sama saya juga membantu untuk mengetengahkan bakat cilik lain bagi mereka turut sama merasai seperti anak saya tidak kira sama ada berasal dari kampung atau bandar sekalipun,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini terdapat 98 kanak-kanak cilik berada bawah pengurusannya membabitkan bidang peragaan, tarian, sajak dan membuat silap mata.

Menceritakan mengenai tawaran lakonan watak hantu yang diterima anaknya, Jasmin berkata, dia menghantar video uji bakat kepada kenalannya dan tidak menyangka terpilih untuk melakonkan filem berkenaan.

“Penggambaran filem seram itu bermula pada 2017 dan ia baru saja ditayangkan di Hong Kong serta Macau manakala pasaran Malaysia pula pada bulan lalu.

“Dalam masa sama, anak saya turut ditawarkan untuk berlakon dalam drama produksi tempatan namun terpaksa menolaknya kerana perlu bersekolah,” katanya.

Menurutnya, dia mahu anak perempuannya yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Permatang Sintok itu mendapat pendidikan yang sempurna.

“Bakat adalah kurniaan tetapi pelajaran tetap diutamakan kerana saya meletakkan pendidikan sebagai perkara utama.

“Jadi lakukanlah apa yang ada dengan berpada-pada,” katanya.

QASEH Nurdania  suka melaram  depan cermin dengan mengenakan solekan pada wajah sejak berusia empat  tahun.
QASEH Nurdania suka melaram depan cermin dengan mengenakan solekan pada wajah sejak berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 7:00 AM