Fazrik Kamarudin


ANGGOTA Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, semalam menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, sejak dipindahkan ke IJN dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) malam semalam, keadaan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, semakin baik dari semalam.

“Keadaan dia bertambah baik dari semalam, saya melihat dari segi bacaan yang ditunjukkan serta penjelasan pasukan doktor IJN.

“Keluarga juga berada dalam keadaan baik, semangat mereka masih kuat dan yakin... tambahan lagi apabila melihat perkembangan rawatan Muhammad Adib di IJN.

“Kita ucapkan terima kasih pada pihak IJN, kita teruslah berdoa supaya keadaan Muhammad Adib terus bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Muhammad Adib di IJN, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Penasihat Pembedahan Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohd Nazeri Nordin berkata, pihaknya menggunakan mesin sokongan hayat dalam rawatan.

“Doktor menggunakan mesin yang dipanggil Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) pada 1.30 pagi tadi.

“Prosedur rawatan itu selesai pada jam 2.30 pagi, mesin itu memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa selepas dadanya mengalami kecederaan yang serius.

“Buat masa ini, keadaannya stabil tetapi masih dalam keadaan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Adib dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) jam 11.33 malam semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, keputusan memindahkan Muhammad Adib dibuat susulan perbincangan yang dilakukan pihaknya dengan IJN agar mangsa diberi rawatan sewajarnya.

Pada kejadian awal pagi semalam, Muhammad Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.

Difahamkan, mangsa dikatakan mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman akibat dipukul.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 11:58 AM