PENJARA kawalan ketat di utara Khujand, Tajikistan lokasi rusuhan yang mengorbankan 27 banduan. - Agensi
PENJARA kawalan ketat di utara Khujand, Tajikistan lokasi rusuhan yang mengorbankan 27 banduan. - Agensi
Agensi

DUSHANBE: Pasukan keselamatan Tajikistan menembak mati sekurang-kurangnya 27 orang di sebuah penjara kawalan ketat di bandar utara Khujand selepas tercetus satu rusuhan lewat kelmarin, kata tiga sumber keselamatan.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan, berlaku rusuhan di penjara itu, namun tidak memberi maklumat lanjut.

Khujand terletak sejauh 300 kilometer di utara ibu kota Tajikistan di sini.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri yang enggan dikenali memberitahu, rusuhan bermula apabila seorang tahanan dianggap pihak berkuasa sebagai anggota militan Daish menyerang seorang pengawal penjara.

Pihak penjara memanggil pasukan keselamatan untuk membantu meredakan rusuhan, yang kini sudah berakhir, kata seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali.

“Beberapa banduan bersenjatakan pisau dan ada yang terbunuh serta ada yang berjaya melarikan diri dari penjara,” kata satu sumber.

Al Jazeera memetik sumber memberitahu 25 banduan dan dua pengawal penjara terbunuh dalam rusuhan berkenaan.

Beberapa penduduk memberitahu media tempatan mereka mendengar bunyi tembakan dari dalam kawasan penjara.

Sementara itu laporan lain menyebut, sumber rasmi di hospital tengah Khujand memaklumkan laman web Asia-Plus, enam pegawai polis turut cedera terkena tembakan dan jumlah banduan yang maut ketika operasi mengawal rusuhan mungkin mencecah 20 orang.

Tajikistan, sebuah negara miskin di Asia Tengah, secara rutin melaporkan penahanan dan sabitan militan Islam.

Julai lalu, anggota militan Daish mengaku bertanggungjawab melakukan serangan yang mengorbankan empat pelancong Barat di Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:30 AM