FAIZAL kesal filem terbaru lakonannya hampir dipotong 30 minit.
FAIZAL kesal filem terbaru lakonannya hampir dipotong 30 minit.
Amirul Haswendy Ashari.


PELAKON Faizal Hussein, 51, akui terkilan dengan keseluruhan kualiti filem terbaru lakonannya Kalla: Hidup atau Mati yang ditayangkan sejak minggu lalu.

“Terkilan sebab kerja yang kami buat 120 minit tetapi keputusan pihak pawagam mahukan 90 minit. Perkara ini seharusnya diperbetulkan dalam industri.

“Kalau nak disunting mestilah dari awal yakni pada peringkat skrip sebelum diluluskan oleh Finas, bukan apabila filem sudah siap,” kata Faizal.

Apatah lagi, filem itu ada kesinambungan dari babak ke babak dan setiap ‘point’ dipandu oleh babak.

Katanya, apabila dipotong hampir 30 minit banyak aksi yang dibuatnya termasuk yang menggunakan Imej Janaan Komputer (CGI) tidak dapat ditayangkan.

Pelakon yang sudah membintangi lebih 40 filem selama lebih tiga dekad itu mendakwa isu berkaitan pemotongan babak bergantung kepada keputusan pihak pawagam yang menentukan sesebuah filem sama ada mendapat sambutan atau tidak.

“Selalunya tauke panggung ada sesi tayangan tertutup sebelum tayangan dan mereka akan tentukan filem itu perlu dipotong atau sebaliknya serta produser terpaksa akur.

“Banyak babak yang saya berikan terbaik sebab dalam filem ini saya tiada rehat langsung.

“Setiap hari ada babak saya sehinggakan mengalami kecederaan kaki dan kuku tercabut kerana babak berlari yang dilakukan seharian selama tiga hari.

“Apabila tengok hasil akhir, babak itu hanya ada beberapa saat saja,” katanya.

Selain itu, Faizal turut ditanya mengenai keberaniannya mengambil risiko bekerja dengan produksi baru biarpun belum ada jaminan pasti soal kualiti dan kutipan membanggakan.

Katanya, sebagai pelakon dia perlu mencuba semua watak yang ada kelainan.

Misalnya, dalam filem Kalla: Hidup atau Mati, dia memegang watak lelaki lurus bendul yang mencari isterinya selepas diculik kumpulan Kalla.

“Ini dinamakan progres dalam lakonan. Peluang itu memang saya tunggu tapi kadang-kala bergantung kepada nasib juga. Kalau menyebelahi saya, baguslah, kalau tidak kenalah terima.

“Saya tidak boleh menetapkan tahan diri. Kalau orang kata saya sudah berada di tahap yang tinggi, saya kena juga beri peluang kepada pembikin filem baru demi perkembangan industri perfileman tanah air,” katanya.

Dia faham semua produser mahu filem mereka untung di pawagam tetap sebagai pelakon Faizal tidak mementingkan soal itu.

Katanya, produser yang menerbitkan filem menggunakan dana yang disediakan Finas tidak perlu fikirkan pasal keuntungan.

Jika ada yang persoal filem tidak balik modal satu kerugian buat pembayar cukai yang menyumbang kepada pemberian dana filem, Faizal akui perkara itu adalah subjektif.

“Perkara ini sangat subjektif. Sebagai contoh, apabila saya buat filem Kapsul dulu memang tak balik modal. Bagaimanapun, apabila tengok 10 ke 20 tahun akan datang, generasi depan akan nampak keunikan karya sebegini.

“Pada masa depan, mereka tidak akan tanya filem sebegini kutip berapa juta di pawagam tetapi mereka akan bercakap perihal idea, kelainan dan usaha dilakukan pembikin filem. Itulah hasil daripada dana yang sebenarnya,” kata Faizal.

Katanya, sebagai pelakon dia sudah tahu sama ada filem itu akan laku atau tidak dan selalunya tanggapan itu menjadi kenyataan.

Anak seniman veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyun Ismail itu berkata ada beberapa tawaran filem diterimanya sudah boleh diramal menjadi atau tidak.

Namun, apabila ada tawaran bagus walaupun sambutan di pawagam tidak seberapa, dia sudah tahu latar belakang filem itu mendapat dana dari Finas.

Namun dia tahu filem seperti itu akan diingati sampai bila-bila, bukan soal duit atau balik modal.

“Dalam jangka masa panjang, itulah yang Finas mahukan yakni dana diberikan untuk menghasilkan karya yang boleh beri manfaat kepada masyarakat pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 6:00 AM