Rosli Ilham

SELEPAS hampir tiga tahun diburu, penjenayah paling dikehendaki di pantai timur, Keri Pok Jeng, yang juga terbabit dalam pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, akhirnya ditembak mati di Felda Neram Satu, dekat Chukai, hari ini.

Keri atau nama sebenarnya, Syukri Mohamad Abiah, 37, terkulai selepas dua biji peluru mengenai kepala dan dadanya dalam aksi berbalas tembakan kira-kira 4.30 pagi.

Polis percaya penjenayah ini bertindak sebagai pembunuh upahan dan suspek dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Terengganu menerima maklumat berhubung seorang penjenayah bersembunyi di sebuah rumah dalam pembinaan di situ.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan itu, polis kemudiannya pergi ke kawasan itu dan ketika cuba membuat tangkapan, suspek dikatakan bertindak melepaskan tembakan kepada anggota polis.

“Polis kemudiannya membalas tembakan itu selepas membuat pemeriksaan polis dapati suspek sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati lelaki itu adalah penjenayah yang dikehendaki dengan melakukan lebih 12 kes jenayah termasuk kes bunuh, jenayah kekerasan, culik dan mendatangkan cedera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, malam ini.

Fazlisyam berkata, hasil pemeriksaan polis berjaya menemui sepucuk pistol semi-automatik masih berisi sebutir peluru yang digunakan suspek serta sebilah parang.

"Polis menemui 16 kelongsong peluru termasuk yang dilepaskan suspek dan polis di lokasi kejadian. Suspek dipercayai mula terbabit dengan jenayah pada 2001 iaitu mendatangkan cedera dan ugutan jenayah.

"Suspek terbabit dengan banyak kes jenayah sehingga dia dikehendaki polis di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Menyedari dia menjadi buruan polis, suspek yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, sering berpindah randah dan menyembunyikan diri bagi mengelak ditangkap polis,” katanya.

Katanya, suspek melakukan jenayah bersendirian dan tidak menyertai mana-mana kumpulan jenayah dan hanya menyembunyikan diri di dalam negara.

“Polis percaya suspek terbabit dengan kes tembak mati seorang bekas ADUN dan dengan tumpasnya suspek, polis berjaya menyelesaikan banyak kes yang membabitkan suspek,” katanya.

Berita berkaitan:

Pembunuh upahan ditembak mati

Bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:40 PM