PEKERJA memeriksa tandas awam di Seoul untuk memastikan tiada kamera tersembunyi  dipasang. FOTO AFP
PEKERJA memeriksa tandas awam di Seoul untuk memastikan tiada kamera tersembunyi dipasang. FOTO AFP
Agensi

Seoul: Pihak berkuasa di Seoul, Korea Selatan, berikrar melakukan pemeriksaan kira-kira 20,000 tandas awam di bandar raya itu bagi memastikan kamera tersembunyi tidak dipasang dalam tandas terbabit.

Tahun lalu, lebih 6,000 kes dilaporkan oleh mangsa yang dirakam secara sembunyi, iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 2012 dengan 80 peratus mereka yang menjadi mangsa ialah wanita.

Pakar menganggarkan jumlah kes rakaman lucah tersembunyi yang digelar ‘molka’ itu lebih tinggi.

Pengumuman pihak berkuasa Seoul itu dibuat selepas ribuan wanita menunjuk perasaan di jalan raya bandar raya itu awal Ogos lalu, dengan membawa sepanduk bertulis ‘Korea Selatan negara kamera tersembunyi’ dan ‘Kehidupan saya bukan bahan lucah anda’.

Menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap, pihak berkuasa bandar raya itu menyediakan 50 pekerja bagi memeriksa lebih 20,000 tandas awam.

Berdasarkan rancangan dikemukakan kerajaan, kira-kira 8,000 lagi pekerja penyelenggara tandas turut diberi tugas tambahan memeriksa kemungkinan ada kamera dipasang.

Ia menganggarkan setiap pekerja mampu memeriksa 2.5 tandas awam sehari.

Pihak berkuasa bandar raya itu juga akan mereka bentuk kira-kira 1,000 tandas yang kalis kamera tersembunyi, termasuk diperiksa lebih kerap.

Bagaimanapun, 50 pekerja yang ditugaskan sekarang belum menemui walaupun satu kamera tersembunyi.

Kajian mendapati 90 peratus rakaman yang disiarkan di Internet dan kes dilaporkan, dirakam menggunakan telefon biasa, bukannya kamera tersembunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:30 AM