Nur Damia Hannah Kamarudin (gambar kecil_ disahkan maut selepas dihempap pokok ketika pulang dari jamuan Aidilfitri. FOTO Ihsan PDRM
Nur Damia Hannah Kamarudin (gambar kecil_ disahkan maut selepas dihempap pokok ketika pulang dari jamuan Aidilfitri. FOTO Ihsan PDRM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


MURID perempuan maut selepas dihempap pokok ketika menaiki motosikal bersama rakannya dalam kejadian di FELDA Jenderak Selatan, Kuala Krau, Temerloh, semalam.

Mangsa, Nur Damia Hannah Kamarudin, 11, yang menunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini.

Rakannya, Nur Nabila Natasya Mizan, 12, parah akibat kecederaan dalaman dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, dalam kejadian kira-kira 4.40 petang, dua murid berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri jamuan Aidilfitri.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pokok tiba-tiba tumbang akibat angin ribut kuat lalu menghempap kedua-dua mangsa.

"Orang awam yang melalui tempat kejadian cuba membantu mangsa dan membawa mereka ke hospital," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan ketika kejadian cuaca hujan dan angin kencang.

"Kedua-dua mangsa adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jenderak Selatan.

"Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian selepas bedah siasat selesai dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 3:47 PM