Siti Sofia Md Nasir


KEMALANGAN jet ski hingga menyebabkan seorang kanak-kanak maut di Pantai Batu Ferringhi, Georgetown, malam semalam, adalah tragedi pertama berakhir dengan kematian membabitkan syarikat berkenaan.

Wakil syarikat yang menyediakan perkhidmatan dua jet ski itu, berkata syarikat berkenaan ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dan beroperasi secara sah serta berdaftar dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Ini adalah kemalangan pertama membabitkan kematian berlaku kepada syarikat kami.

“Penyelamat pantai yang terbabit dalam kejadian itu kecederaan ringan di bahagian rusuk.

“Beliau berusia lewat 20-an dan mempunyai pengalaman luas sebagai penyelamat pantai kerana sudah berkhidmat dengan kami sejak berusia belasan tahun.

“Jet ski yang terbabit bernilai lebih RM50,000 setiap satu dan mempunyai ciri-ciri keselamatan baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik, berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihaknya akan bekerjasama dengan MBPP untuk mengenal pasti punca kecuaian berkenaan.

“Saya diberitahu memang ada berlaku kecuaian sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh dan mengalami kecederaan parah.

“Apa pun kita akan siasat nanti,” katanya.

Tinjauan NSTP di lokasi kejadian mendapati amaran bendera merah dinaikkan di pondok kawalan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang terletak 50 meter dari tempat kejadian.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, mangsa, Jordan Phang Wen Jie, 9, maut selepas jet ski yang dinaikinya bersama penyelamat pantai bertembung dengan sebuah lagi jet ski dipandu ibunya.

Jordan yang pertama kali mengunjungi Pantai Batu Ferringhi sempena cuti sekolah, maut akibat kecederaan serius di tulang belakang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata mangsa dan keluarganya baharu saja mendaftar masuk ke sebuah hotel terkemuka di Batu Ferringhi tengah hari semalam, untuk bercuti.

“Selepas itu, keluarga terbabit menyewa dua jet ski yang terletak di belakang hotel tempat mereka menginap untuk beriadah.

“Ibu mangsa, Looi Ting Ching, memandu jet ski pertama berseorangan dan jet ski kedua dipandu seorang penyelamat pantai bersama mangsa dan semuanya memakai jaket keselamatan,” katanya.

Berita berkaitan

'Budak maut, jet ski bertembung'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 10:13 PM
DUA jet ski yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang kanak-kanak maut di Pantai Batu Ferringhi. FOTO Mikail Ong.
DUA jet ski yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang kanak-kanak maut di Pantai Batu Ferringhi. FOTO Mikail Ong.