PUTERA Band. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PUTERA Band. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin

Walaupun kemalangan yang menimpa penyanyinya, Haziq pada 28 Februari lalu memberi ujian kepada Putera Band, namun masih ada hikmah di sebaliknya.

Ia diakui tiga anggota lain iaitu Alepp, 20 (dram), Aidid, 15, (bass) dan Baby, 17, (gitar).

Menurut Alepp, insiden kemalangan yang membabitkan Haziq itu turut membawa sinar populariti buat Putera Band.

“Apabila berita Haziq kemalangan disiarkan, kami tidak sangka ia menjadi perhatian peminat dan Putera Band sebenarnya sudah dikenali.

“Kami gembira selain bersyukur Haziq selamat. Malah, tidak sangka juga Haziq mampu pulih semula dengan cepat.

“Memang pada mulanya selepas kemalangan itu, kami bimbang memikirkan tahap kesihatan Haziq. Namun, aturan Allah SWT siapa yang tahu. Kini melihatkan Haziq semakin sihat, bersemangat dan ceria seperti dulu, kami lega. Perjuangan Putera Band sudah boleh diteruskan semula,” katanya.

Ditanya mengenai gosip yang mendakwa Haziq mempunyai masalah jantung akibat kemalangan itu, Alepp berkata, mereka mengetahuinya.

“Kami terkejut juga dengan gosip itu tetapi tidaklah mempercayainya secara langsung kerana tahu keadaan Haziq yang sebenar.

“Malah, biarpun ketika dalam keadaan pemulihan Haziq masih lagi memberi sokongan kepada Putera Band,” katanya.

Bagi Baby, didoakan semoga keadaan kesihatan Haziq pulih dan Putera Band pun akan muncul dengan single terbaru.

Berbicara mengenainya, Baby berkata, single ketiga Putera Band yang baru dirakamkan pada 3 Mei lalu mengetengahkan genre pop moden.

“Untuk single ini, Putera Band mengambil pendekatan tampil dengan genre muzik rancak dan lebih segar.

“Selepas dua single kami iaitu Rebahku Tanpamu dan Tersiksa lebih menjurus pada genre muzik era 1990-an, kini perlu ada pembaharuan,” katanya.

Baby berkata, melodi dan lirik lagu single ketiga itu agak menarik cuma perlu dimantapkan pada susunan muziknya.

Sehubungan itu, Zimi Sofazr bekerjasama dengan Putera Band bagi memantapkan susunan muzik single ketiga itu.

Aidid berkata, hampir dua tahun Putera Band aktif dalam bidang nyanyian, dua single dihasilkan mendapat sambutan.

“Setakat ini, dalam tempoh setahun video muzik single pertama Rebahku Tanpamu sudah mencatat 13 juta tontonan di YouTube.

“Video muzik single kedua Tersiksa pula mencatat jumlah 10 juta tontonan di YouTube dalam tempoh lapan bulan dimuat naik.

“Semoga kemunculan single ketiga Putera Band tidak lama lagi akan mendapat sambutan yang baik juga,” katanya.

Aidid berkata, dia ucapkan terima kasih kepada peminat Putera Band yang setia memberi sokongan.

Katanya, terima kasih juga kepada peminat di atas doa mereka buat Haziq yang kini makin sembuh dan pulih daripada kemalangan dialami.

PUTERA Band. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PUTERA Band. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Haziq serik dan trauma

Menganggap kemalangan motosikal dilaluinya sebagai detik hitam dalam hidup, Haziq akui, dia kini serik dan masih trauma.

Menurutnya, apa yang boleh dikatakan buat masa sekarang dia belum ada keyakinan untuk menunggang motosikal semula.

“Terus terang, sekarang saya serik dan trauma dengan motosikal tetapi minat terhadap motosikal tidak pernah pudar.

“Saya tahu pengalaman daripada kemalangan dilalui itu membawa impak besar dan perlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Bagaimanapun, semoga suatu hari nanti saya kembali berani dan yakin untuk menunggang motosikal semula,” katanya.

Menurut Haziq, kini apa yang pasti fokusnya lebih ke arah mematapkan karier nyanyian bersama Putera Band.

Mewarisi bakat menyanyi daripada ibunya, Linda Eva, anak sulung daripada empat beradik ini berkata, perjalanan Putera Band masih jauh.

Mengulas juga mengenai gosip kesihatannya, Haziq berkata, dia kini sihat termasuk sudah beberapa kali membuat persembahan bersama Putera Band.

“Kecederaan saya akibat kemalangan itu hanya membabitkan paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk.

“Itu saja dan tiada langsung hubung kait dengan jantung. Alhamdulilah, jantung saya masih dalam keadaan sihat,” katanya.

Haziq juga menolak dakwaan dia tidak boleh menyanyi lagu dengan nada tinggi.

Katanya, perkara itu tidak betul.

“Saya menerima setiap gosip mengenai keadaan kesihatan diri dengan hati terbuka dan melihat secara positif,” katanya.

Apa yang diharapkan ialah doa keadaan kesihatannya bertambah baik dan Putera Band terus berjaya dalam karier seni diceburi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:18 AM