BOB bersama isteri, Relawati Daud.
BOB bersama isteri, Relawati Daud.
HM Digital

Kisah pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman yang terlantar akibat masalah jantung mendapat perhatian masyarakat dan industri hiburan tempatan.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 54, turut dikunjungi Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri selepas berita mengenainya disiarkan Harian Metro.

RAP yang berkesempatan menziarahi Bob di kediamannya di Sungai Buloh, baru-baru ini tersentuh melihat keadaan dilalui apatah lagi penulis lirik Isabella itu perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

Keadaan kesihatan Bob turun mendadak sejak sebulan lalu membuatkan segala pergerakannya terbatas dan perlu berulang- alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, Bob yang mempunyai lapan cahaya mata meluahkan rasa syukur kerana dia banyak dibantu isteri dan anak.

“Isteri banyak membantu. Anak sulung, Adam pun tidak ada kerja lain. Kerja utama adalah membantu keluarga. Saya memang berpesan jika meninggal dunia, Adam tidak boleh tinggalkan keluarga dengan membuat kerja lain. Sebaliknya kena jaga keluarga, makan, minum dan hantar adik ke sekolah.

“Dahulu saya ada mengusahakan restoran, tetapi apabila sakit ia terpaksa ditutup. Insya-Allah kalau keadaan kesihatan mengizinkan, saya cuba buka semula. Bukan untuk saya, tetapi untuk anak. Kalau boleh biar mereka teruskan perniagaan ini.

“Saya berharap Adam dapat teruskan usaha saya bagi menguruskan keluarga. Saya tidak mahu mereka hidup susah selepas saya tidak ada nanti,” katanya.

Apa yang pasti, keadaan kesihatan Bob menyukarkan dia bekerja. Disebabkan itu, punca pendapatan Bob juga terputus.

“Sekarang ini punca pendapatan daripada hasil sumbangan kawan. Malah ramai juga bukan dalam kalangan rakan yang membantu. Boleh dikatakan ada saja wang dalam bank. Alhamdulillah, Allah Maha Penyayang.

“Jika saya ke hospital dan kena bayar bil berjumlah ratusan ringgit, Allah permudahkan. Saya tidak tahu siapa yang memasukkan wang. Saya difahamkan ada rakan di Facebook yang berkongsi kisah saya dan nombor akaun isteri.

“Alhamdulillah, setakat ini kami sekeluarga dapat makan dan lima anak masih sekolah seperti biasa. Pada masa sama, saya juga dapat bantuan Pusat Zakat dan persatuan artis. Saya sangat terharu. Dulu saya tengok mereka hulurkan bantuan kepada artis susah, saya tumpang bersedih. Sekarang giliran saya pula. Saya fikir, bagus mempunyai sahabat yang ada ketika kita susah tidak kira bangsa atau agama,” katanya.

Pesan untuk anak

Bob yang kini sukar berjalan lebih banyak duduk dan terbaring di rumah.

Apa dirasakan Bob kini, masa untuk hidup sudah tidak panjang.

Disebabkan itu, setiap masa dia sentiasa berpesan kepada anaknya supaya berbuat baik kepadanya selagi hayat masih ada.

“Saya selalu cakap kepada anak, suatu hari nanti saya akan meninggal dunia. Sementara saya masih bernyawa, kalau tidak mahu menyesal dalam hidup ini buat baik dengan ayah. Sebab perkara ini banyak orang tidak pesan kepada anak mereka.

“Saya pernah tidak bersikap baik dengan ibu bapa, tetapi apabila saya sakit, Allah panjangkan usia ibu bapa saya. Dalam keadaan sekarang, Allah masih beri saya kesempatan untuk pimpin tangan mereka. Walaupun mereka tidak tinggal bersama saya, saya dapat rasa nikmat itu.

“Saya beritahu anak, kalau mahu berasa satu nikmat kenangan yang hebat dalam hidup, kena buat baik dengan ibu bapa ketika mereka masih ada. Sebab nanti kalau sudah tidak ada, serba-serbi kita buat akan menangis. Jika ingin gembira buatlah masa mereka ada. Kalau sudah tidak ada pula, jangan lupa sedekahkan al-Fatihah. Ia keberkatan selepas mati pula,” katanya.

Ditanya adakah dia tidak rindukan industri hiburan, Bob akui, dia nekad bersara sejak 2010.

Namun, dalam tempoh itu Bob mengakui masih mendapat tawaran berlakon dan menulis lirik.

“Saya sudah lama cuci tangan dalam industri hiburan. Setiap kali dapat tawaran, saya tolak cara baik. Saya memang nekad untuk tidak terbabit lagi.

“Namun, baru-baru ini Datuk Ramli Sarip berjumpa dan mahukan saya menulis lirik untuk lagu ketuhanan nyanyiannya. Saya tidak boleh berjanji kerana keadaan sekarang yang tidak mengizinkan.

“Cuma saya cakap, kena dengar lagu dulu dan baru boleh cari ilham. Kalau Allah panjangkan usia dan mendapat keizinan, saya cuba. Lagipun, saya dengan Ramli seperti adik-beradik. Insya-Allah, mungkin ia menjadi lirik terakhir saya,” katanya. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 3:38 AM