SUFIAN Suhaimi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman. Antara mesej rakan artis (gambar kecil)
SUFIAN Suhaimi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman. Antara mesej rakan artis (gambar kecil)
Georgie Joseph


SELEPAS berita pertunangannya dengan pelakon Elfira Loy terputus semalam, penyanyi Sufian Suhaimi menerima banyak kata-kata sokongan daripada rakan artis yang memintanya bersabar.

Terbaru, Sufian, 26, memuat naik beberapa mesej diterimanya termasuk dari penyanyi Aiman Tino di Instagram Story.

Dalam mesej itu, Aiman meminta penyanyi Terasa Ada berkenaan agar tidak mengendahkan kata-kata netizen mengenai berita terbabit.

“Ean (Sufian) banyakkan bersabar ok. Aiman tak tahu nak cakap pasal benda ini. Tapi kita kena percaya, mesti ada hikmah setiap yang berlaku.

“Tetap kuatkan diri. Biarkan apa orang nak cakap. Mereka tak tahu apa yang kamu lalui. Jangan termakan dengan kata-kata netizen,” kata Aiman.

Tidak ketinggalan, pengacara dan penyanyi Heliza Helmi turut berkongsi hadis buat renungan kepada Sufian.

“Terima kasih Heliza Helmi. Semoga Allah memberkati kakak dan keluarga, diluaskan rezeki seluas lautan, bahagia dan berjaya dunia akhirat. Amin.” itu balasan Sufian.

Ada seorang peminat turut memberikan nasihat, dan berharap penyanyi itu menguatkan semangat.

“Saya tidak kenal kamu secara peribadi tapi pernah melalui situasi sama. Ia mengambil masa bertahun untuk sembuh kerana dia adalah insan yang kamu harapkan dapat berkongsi hidup bersama.

“Ia menyakitkan untuk kita hadapi kehilangan itu, tetapi Allah merancang yang lebih baik untuk kamu. Allah akan membalas sesuatu yang hilang daripada kamu dengan perkara lebih baik.

“Kamu nampak seorang lelaki yang baik dan saya ikhlas berharap kamu akan menjadi kuat dengan apa kamu lalui ketika ini,” kata peminat itu.

Semalam, Harian Metro melaporkan ibu Elfira, Filzah Yusoff, 52, mengesahkan bakal memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian sekali gus menjawab segala spekulasi mengenai hubungan mereka.

Berita berkaitan

'Hubungan dengan Elfira masih baik' - Sufian

Elfira Loy, Sufian putus tunang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 4:36 PM