Iesya (gambar kecil) tidak tidur malam sejak dimaklumkan keadaan bapanya. FOTO ROHANIS SHUKRI/Instagram Iesya
Iesya (gambar kecil) tidak tidur malam sejak dimaklumkan keadaan bapanya. FOTO ROHANIS SHUKRI/Instagram Iesya
Sudirman Mohd Tahir


BAPA pengacara Iesya Toh iaitu Sanny Toh Abdullah, 65, yang rebah ketika menuju ke Makkah bagi menunaikan ibadah umrah, berada dalam keadaan tenat.

Iesya atau Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 35, berkata bapanya kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Madinah.

"Saya dimaklumkan abah rebah ketika keluar dari masjid selepas solat sunat ihram sebelum bergerak ke Makkah. Difahamkan cuaca panas dan abah dalam keadaan letih.

"Selepas diperiksa, doktor mengesahkan abah sudah meninggal dunia. Namun, pasukan doktor tetap ikthtiar menggunakan alat Cardioversion.

"Alhamdulillah, dengan kuasa Allah selepas kali ketiga jantung abah memberikan maklum balas. Cuma sekarang abah dalam keadaan tidak stabil dan ditempatkan di unit rawatan rapi. Doktor juga tidak memberikan harapan tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Iesya yang juga bekas pengacara program Selamat Pagi Malaysia (SPM) hanya menunggu berita dan laporan daripada Mutawif yang membawa kedua ibu bapanya.

"Abah masih dalam ihram sekarang. Alhamdulillah, umi sudah selesai menunaikan umrah. Sekarang dia dalam perjalanan ke Madinah untuk melihat keadaan abah.

"Kami adik beradik reda kalau itu yang terbaik buat abah. Cuma saya risaukan umi sebab dia seorang diri di sana.

"Memandangkan abah tidak membawa telefon, jadi kami hanya menunggu laporan daripada Mutawif saja. Mohon doakan yang terbaik buat abah saya," katanya.

Iesya yang kini hamil enam bulan akui tidak tidur dan sebak sejak dimaklumkan mengenai keadaan bapanya.

"Saya terduduk selepas diberitahu abah meninggal dunia. Apa saya boleh buat adalah teruskan berdoa dan mengharap keajaiban Allah.

"Sejak semalam saya tidak boleh tidur. Hati saya sebak dan sayu mengenangkan nasib abah dan umi di sana," katanya.

Menurut Iesya, pemergian kedua ibu bapanya bagi menunaikan umrah adalah hadiah daripadanya dan dijangka pulang ke tanah air pada 14 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 12:35 PM