Rizanizam Abdul Hamid


FELDA mendapatkan kembali hak milik semua empat bidang tanah di Jalan Semarak Kuala Lumpur selepas satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara FELDA dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rentetan daripada usaha yang dilaksanakan oleh FELDA, pihak pemaju, SPSB hari ini secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah itu kepada FELDA tanpa kos dan telah menyerahkan kesemua suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula ke atas nama FELDA

"Walau bagaimanapun, laporan polis yang telah dibuat pada 12 Disember 2017 dan 28 Disember 2017 mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) tidak akan ditarik balik.

"Audit forensik yang sedang berjalan juga akan diteruskan bagi mengenal pasti jika terdapat salah Iaku dalam transaksi terbabit," katanya pada sidang media perkembangan terkini Tanah FELDA di Jalan Semarak di Menara FELDA, Kuala Lumpur, hari ini.

SHAHRIR menunjukkan geran tanah yang diperolehi semula FELDA ketika sidang media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SHAHRIR menunjukkan geran tanah yang diperolehi semula FELDA ketika sidang media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Menurut beliau, walaupun isu pemindahan tanah ini hanya diketahui umum sejak 21 Disember 2017 tetapi FELDA telah mengambil langkah yang perlu untuk mendapatkan semula tanah yang telah dipindah milik seawal Januari tahun lalu.

"Selain itu, Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang berjalan di tanah itu juga akan diteruskan dan FELDA serta SPSB berunding semula bagi penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan itu demi kebaikan kesemua pihak.

"FELDA turut akan memastikan bahawa segala proses dan prosedur pengembalian tanah ini serta proses-proses Iain dalam Projek KLVC akan menurut tatacara tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti," katanya.

Pada 12 Disember lalu, FELDA membuat laporan berhubung kemungkinan berlaku penipuan dalam urusan penukaran hak milik tanah miliknya di Jalan Semarak, oleh syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd.

Kes disiasat sebagai penipuan dan pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 420 dan 471 Kanun Keseksaan.

Pada 21 Disember lalu, media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Berita berkaitan:

Serah kepada Peguam Negara minggu depan

Audit projek KLVC bermula hari ini

Peneroka minta siasat isu tanah FELDA

'Kita nak balik tanah tu. At all costs' [TANPA EDIT]

Shahrir 'terpegun' mudahnya FELDA hilang tanah

'RM200 juta tuu...bukannya sikit!'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 5:53 PM