Nor Aryan bergantung kepada mesin oksigen di Hospital Sultanah Aminah.
Nor Aryan bergantung kepada mesin oksigen di Hospital Sultanah Aminah.
Asrizal Aris


 

"MOHON doakan Aryan. Impian saya hanya mahu melihat anak bernafas dengan normal dan membesar sihat seperti kanak-kanak lain," kata Siti Fatihah Ibrahim, 25, ibu kepada bayi lelaki yang menghidap pompe disease (kurang enzim dalam badan), Nor Aryan Iwan berusia 10 bulan.

Nor Aryan disahkan menghidap penyakit itu serta mengalami bengkak pada jantung sejak awal bulan ini selepas menjalani pemeriksaan rapi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Menyedihkan, sejak itu Aryan terpaksa bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas kerana sistem pernafasan serta ototnya lemah.

Siti Fatihah berkata, sejak usia empat bulan, anak tunggalnya itu sudah menunjukkan tanda anggota badannya lemah sehinggalah Aryan menangis tanpa henti menyebabkan seluruh badannya kebiruan pada bulan lalu.

Katanya, Aryan dirujuk ke hospital di Terengganu terlebih dahulu dan disahkan mempunyai kuman pada paru-paru sebelum mendapatkan pemeriksaan lebih lanjut di HSA.

"Saya sangat terkejut apabila pihak hospital memaklumkan Aryan menghidap penyakit yang jarang berlaku (pompe disease), lalu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di HSA dan terpaksa bernafas melalui tiub pernafasan.

"Lebih terkejut apabila ubat yang disyorkan untuk memulihkan semula otot dan sistem badan Aryan menelan kos lebih RM90,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut suri rumah itu, ubat berkenaan dibekalkan untuk tempoh enam bulan sahaja dan bergantung kepada perkembangan sistem badan Aryan sama ada ia perlu disambung penggunaannya atau tidak.

"Ubat itu berfungsi untuk aktifkan semula otot yang lemah dan saya berharap sangat Aryan boleh aktif sihat semula serta membesar seperti kanak-kanak lain.

"Pergerakan Aryan kini semakin terhad, dia hanya boleh menggerakkan jari sahaja kerana sistem anggota badan yang lain sudah lemah.

"Namun melihat kepada kos perubatan Aryan, saya hanya mampu memasang impian untuk melihat Aryan sihat kerana saya bukanlah orang senang," katanya yang menetap di Johor Bahru.

Menurutnya, suaminya hanya bekerja sendiri dan terpaksa mengharapkan ihsan sumbangan rakan-rakan untuk mengumpul dana bagi mendapatkan ubat yang disyorkan pihak hospital berjumlah RM90,331.20.

Kisah Aryan mendapat perhatian ramai di laman sosial selepas Siti Fatihah menaikkan status keadaan anaknya itu dan memohon netizen mendoakan anaknya di Facebook pada Jumaat

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Fatihah di talian 013-7830198.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 10:00 PM