Seorang jiran menunjukkan tempat kejadian kanak-kanak berusia 10 tahun yang diikat menggunakan rantai besi pada tong gas di Indera Mahkota 1. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Seorang jiran menunjukkan tempat kejadian kanak-kanak berusia 10 tahun yang diikat menggunakan rantai besi pada tong gas di Indera Mahkota 1. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“SAYA curiga mendengar bunyi seolah-olah besi bergesel beberapa kali dari rumah jiran, pada mulanya saya tidak mengendahkannya mungkin memikirkan anak jiran bermain tambahan pula kedengaran ibunya sedang memasak di dapur.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terdengar bunyi rantai besi direntap membuatkan saya tidak sedap hati. Saya meninjau ke rumah itu dan terkejut melihat anak jiran diikat dengan rantai besi pada lehernya dan ditambat pada tong gas serta dimangga," kata wanita hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 58.

Salmah adalah jiran kepada kanak-kanak berusia 10 tahun yang ditemui dalam keadaan lehernya diikat dengan menggunakan rantai pada tong gas.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi di Indera Mahkota 1, Kuantan, semalam, murid tahun empat yang juga anak ketiga daripada lima beradik diikat oleh bapa tirinya hanya kerana dia enggan ke sekolah.

Salmah berkata, sudah menjadi kebiasaan dia mendengar jirannya itu yang berusia 35 tahun menengking dan memarahi anak tirinya termasuk terdengar rayuan kanak-kanak berkenaan supaya tidak dipukul.

Katanya, dia tidak pernah ambil tahu kerana menganggap ia hanya masalah keluarga dan tidak mahu masuk campur urusan keluarga jirannya itu.

"Selepas Subuh, saya juga mendengar bunyi geselan besi dan cuba meninjau melalui lubang pada dinding rumah dan terkejut melihat anak jiran duduk dalam keadaan mendongak dengan lehernya dililit rantai besi sebanyak dua kali, rantai besi itu pula diikat pada tong gas dan dimanggakan.

"Paling menyedihkan apabila kanak-kanak itu mengangkat tong gas berkenaan sambil menyeret rantai besi ke pintu rumah, mungkin untuk mencari anak kunci bagi membuka mangga itu," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, ketika jirannya yang lain menghubungi polis, kanak-kanak itu sudah terbaring di dapur dengan hanya berseluar dan tidak sedarkan diri.

"Tergamak sungguh mereka membiarkan kanak-kanak berkenaan dirantai sebegitu sedangkan kurang satu jam sebelum itu saya mendengar ibunya memasak di dapur.

"Menggeletar tangan saya melihat keadaannya, jika hati saya tidak tergerak meninjau ke rumah sebelah tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya," katanya.

Difahamkan, ketika polis menyerbu rumah berkenaan, hanya mangsa dan adik perempuannya yang berusia dua tahun berada di rumah manakala ibu serta bapa tirinya tiada.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Daniel, 16, berkata, bapa tiri sering memukulnya serta tiga adiknya yang lain walaupun hanya kerana kesalahan kecil.

Katanya, bapa tirinya itu mudah naik angin dan bertindak memukulnya apabila ada perkara yang tidak kena padanya.

Keadaan itu turut membuatkan dia mengambil keputusan keluar dari rumah keluarganya di Indera Mahkota 1 dan menumpang di rumah rakannya di Kampung Tiram, sejak Julai lalu.

"Saya sering dipukul dan dimarahi ayah, ada kala dia bertindak melampaui batas, pernah kepala saya cedera teruk kerana ditumbuknya.

"Namun, saya tidak menyangka ayah bertindak sebegini sehingga menyebabkan adik saya dimasukkan ke hospital," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman berkata, polis sudah mendapat perintah reman selama seminggu ibu dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 37 dan 32 tahun.

"Mangsa ditinggalkan di rumah bersama dengan adik bongsu berusia dua tahun yang ketika itu berada di tingkat atas.

"Ibu mangsa dipercayai keluar berniaga manakala dua lagi adik-beradik mangsa berusia enam dan 13 tahun berada di sekolah," katanya.

Rosli berkata, mangsa adalah anak kandung wanita itu hasil perkahwinan terdahulu dan keadaannya dilaporkan stabil.

Berita berkaitan

Nak mendidik atau menyeksa?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 8:26 PM