GUNTUR Triyoga. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
GUNTUR Triyoga. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


Jika kebanyakan bintang popular Indonesia yang mencipta nama di negara ini dikenali sebagai pelakon filem dan penyanyi, tidak bagi Guntur Triyoga, 29.

Guntur dilahir dan membesar di Jakarta, memilih untuk membina karier seni dan namanya di Malaysia sebagai pelakon drama dan filem untuk televisyen (FTV).

Malah sejak beberapa tahun lalu, Guntur juga dilihat banyak bekerjasama dengan produksi Dark Wave Productions Sdn Bhd milik Datuk Rafiena Ezanee Ramli.

Pada 2012, Guntur tampil buat julung kali membintangi telefilem Antara Cinta, Mimpi dan Bintang bersama Marsha Milan.

Kini nama Guntur makin mekar di hati peminat drama tempatan apabila menjadi pelakon utama drama Mr Delicious di Hypp TV.

Guntur juga pernah membintangi FTV diterbitkan Dark Wave, Lai Krathong arahan Zul Huzaimy pada 2014.

Mula mengatur langkah membina karier lakonan di negara ini pada 2012, Guntur mengakui sangat selesa apabila berlakon di Malaysia.

“Saya lebih selesa dan berasa sangat tenang sepanjang bekerja di sini kerana semua keperluan dijaga dengan baik.

“Begitu juga berkaitan urusan kerja seperti jadual penggambaran segala-galanya saya puas hati kerana sudah diatur dan lancar tanpa masalah.

“Saya suka dengan cara kerja sebegini kerana tidak perlu terkejar-kejar untuk menyiapkan penggambaran dan pelakon ada masa rehatnya.

“Malah drama rantaian dihasilkan juga tidak mempunyai jumlah siri yang terlalu panjang hingga banyak masa harus tertumpu di lokasi,” katanya.

Apapun, tegas Guntur keutamaannya tetap berlakon di Indonesia dan hingga kini agak banyak membintangi FTV berbeza ketika awal berlakon pada 2008 dulu membintangi filem Rien: Pembunuh Berantai.

Bagi Guntur, filem Rien: Pembunuh Berantai menarik kerana ia karya yang diinspirasi daripada kisah benar.

Dia gembira kerana lakonannya dalam filem itu diterima baik penonton.

Guntur akui dia lebih cenderung berlakon filem dan aksinya di layar perak tidak putus sejak 2010 hingga 2014. Antara filem lakonannya ialah Gaby dan Lagunya, Kuntilanak Kesurupan, Tarung: City of The Darkness, Pocong Kesetanan, Ada Hantu di Vietnam, Perawan Seberang, 3 Cewek Petualang dan Midnight.

Namun, pada 2014 juga menjadi penanda aras bagi Guntur apabila dia mula menerima tawaran berlakon FTV di Indonesia.

Sejak itu, Guntur bagaikan selesa memantap­kan lakonannya menerusi tawaran FTV yang tidak putus-putus dibintangi.

Antaranya Misteri Diary Kosong, KM 12, Akibat Tamak Di Serambi Madinah, Misteri Sosok Reggae, Tragedi Ulang Tahun Pernikahan, Terperangkap Di Hutan Misterius, Ibu Yang Tak Mau Menyerah, Aku Menikah Atas Kebohongan dan Di antara Dua Surga.

Untuk pengalaman berlakon sinetron, Guntur pernah membintangi Cinta Di Langit Taj Mahal pada 2015.

Baru-baru ini, Guntur datang ke Malaysia untuk promasi dramanya, Mr Delicious yang kini disiarkan Hypp TV setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam.

Drama 30 episod terbitan Dark Wave itu menggandingkan Guntur bersama pelakon tanah air seperti Ieda Moin, Reen Rahim, Kilafairy dan Zaidi Omar.

Diarahkan Adlin Hanim Abidin, Mr Delicious mengangkat kisah persahabatan, kasih sayang dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:58 AM