NEERA Azizi. FOTO Aziah Azmee
NEERA Azizi. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Sewaktu mendapat perkhabaran naskhah arahan sutradara Yeop Hitler berjudul Miss Kapten Cikgu Waiz yang kini menemui penonton menerusi slot Lestary TV3, jiwa wanita tinggi lampai ini berbunga riang.

Dadanya bergetar kencang tatkala memikirkan bagaimana hasil lakonan dalam naskhah terbabit memandangkan usianya baru menjangkau 19 tahun.

Mana tidaknya, drama 13 episod terbitan Country & Universal Sdn Bhd itu adalah percubaan pertamanya tampil sebagai heroin selain bergelar juruterbang.

Sebaik drama terbabit ditayangkan, Neera Azizi menghela nafas lega apabila menerima maklum balas positif penonton drama itu.

Pada masa sama, Neera berharap naskhah terbabit menjadi pembuka jalan untuknya melebarkan portfolio lakonan.

“Saya akui gementar apabila memikirkan reaksi awal penonton.

“Maklumlah, ini percubaan pertama saya. Sudah tentu banyak perkara yang akan dinilai mereka. Bagaimanapun, saya bersedia mendengar sebarang komen negatif bagi memperbaiki mutu persembahan.

“Saya juga berharap drama ini menjadi titik permulaan untuk mendaki puncak populariti. Kalau boleh saya mahu kehadiran lebih disedari orang ramai,” katanya.

Siapa sangka, dalam usia semuda itu Neera diberikan watak mencabar selepas pernah tampil sebagai Doktor Anisa menerusi drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz.

Ternyata impak lakonan yang dipamerkan menerusi drama itu melekat di hati penonton hingga ke hari ini.

“Saya gembira apabila watak doktor Anisa terus diingati malah ke mana saja saya pergi, akan dipanggil dengan nama itu. Diakui drama Sayangku Kapten Mukhriz membawa tuah kepada saya walaupun sekadar memegang watak pembantu.

“Kini saya dikenali sebagai Kapten Khalisha. Syukur, produksi mempercayai kebolehan saya.

“Setiap kali dapat watak, saya akan buat penyelidikan. Drama Miss Kapten Cikgu Waiz misalnya, saya banyak rujuk kakak yang bekerja sebagai pramugari. Dia menemukan saya dengan rakannya agar dapat menjiwai karakter ini dengan berkesan,” katanya yang bakal melakonkan watak peguam menerusi drama Sedingin Cinta Antasya terbitan HyppTV tidak lama lagi.

Beralih sisi peribadi, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Patahnya Sebelah Sayap ini mengakui masih solo dan belum bersedia menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

Malah, apabila digosipkan dengan rakan gandingannya iaitu Erwin Dawson, Neera pantas menjelaskan hubungan mereka tidak lebih daripada rakan artis.

“Saya berkawan dengan semua orang. Saya masih solo dan belum terbuka hati untuk bercinta.

“Ramai mula bercakap mengenai keakraban saya dan Erwin. Untuk pengetahuan semua, kami hanya sekadar rakan kerja, selebihnya lebih manis dijawab oleh Erwin sendiri,” katanya seraya ketawa.

Menurut Neera, ketika nekad menceburi kerjaya lakonan dia sudah mempersiapkan diri untuk berdepan apa sahaja kemungkinan termasuk dihimpit kontroversi.

“Sebagai pelakon yang masih ‘hijau’ tidak dinafikan wujud kebimbangan jika terpalit cerita kurang enak.

“Saya sedar artis dan gosip tidak dapat dipisahkan tetapi kalau boleh biarlah dijauhkan. Bagaimanapun, saya kena berlapang dada dan sentiasa bersedia.

“Syukur, setakat ini belum ada cerita kurang manis mengenai saya diperkatakan dan harap berterusan begini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 7:03 AM