JETI Bot Sea Wonder berlabuh sebelum keluar membawa pemancing. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
JETI Bot Sea Wonder berlabuh sebelum keluar membawa pemancing. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BOT Sea Wonder membawa tiga krew bersama 12 pemancing ditemui selamat pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, bot berkenaan ditemui jam 10.50 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) APMM.

Menurutnya, bot berkenaan ditemui pada kedudukan 40 batu nautika utara Tanjung Sirik.

"Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dari kedudukan terakhirnya pada kedudukan 82 batu nautika timur laut Tanjung Po.

"Kapal Maritim (KM) Cekal kini sedang menunda bot berkenaan ke jeti APMM di Muara Tebas," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro Online hari ini melaporkan bot Sea Wonder yang dinaiki tiga krew dan 12 pemancing terputus hubungan jam 4 petang semalam.

Bot berkenaan dilaporkan bergerak dari Jeti Kampung Goebilt di Muara Tebas, Kuching jam 1 tengah hari semalam.

Sebaik menerima laporan daripada pemilik bot jam 8.15 malam tadi, sebuah kapal digerakkan ke lokasi untuk operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 12:04 PM