NAJMI (tengah) cemerlang bersama UniKL sebelum menyertai Maybank tahun  ini.
NAJMI (tengah) cemerlang bersama UniKL sebelum menyertai Maybank tahun ini.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas merangkul pelbagai kejayaan dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) termasuk meraih 'treble' tahun lalu, pertahanan negara, Najmi Farizal Jazlan bersedia untuk mengharumkan pasukan baru disertainya, Maybank menjelang aksi pembukaan Liga Hoki Malaysia (MHL) esok.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, sudah tiba masanya untuk berhijrah mencari angin baharu dan paling penting menimba pengalaman beraksi dengan pasukan yang pernah meraih kejuaraan MHL pada 1994 dan 1995.

"Benda ini (berhijrah) bukan saat akhir, memang saya sudah merancang sebenarnya. Saya memang mahu beraksi dengan pasukan Maybank dan mereka menerima saya. Jadi apabila bermulanya musim 2021 saya bertekad untuk pembukaan langkah kanan," katanya.

Pemain kelahiran Perlis itu juga mengakui persiapan mereka berjalan lancar walaupun musim ini saingan diadakan dengan cara berbeza iaitu semua pasukan, pemain, pegawai dan mereka yang terbabit ditempatkan dalam gelembung sukan (disebabkan pandemik Covid-19). "Kita sudah melalui banyak sesi latihan, malah ia bukan satu masalah kerana rata-rata pemain muda ini juga adalah dari skuad remaja kebangsaan. Tidak ada masalah dari segi persefahaman kerana ia sudah diuji dalam perlawanan persahabatan.

"Apa yang saya lihat perlawanan demi perlawanan rata-rata menunjukkan peningkatan. Jadi saya harap bila kejohanan sudah membuka tirai persefahaman antara kami menjadi lebih baik," kata Najmi Farizal.

Ditanya mengenai MHL diadakan secara gelembung sukan, dia mengakui perkara itu memang menimbulkan perasaan kurang selesa.

"Bagaimanapun, ini adalah alternatif yang bagus dari Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana dengan cara ini aksi liga dapat diteruskan. Ia juga akan mengurangkan risiko kami terdedah dengan dunia luar.

"MHL juga penanda aras kepada pemilihan pemain kebangsaan, jadi ia medan terbaik buat kami untuk memberikan yang terbaik kerana kita mempunyai lapan pasukan untuk bersaing sesama sendiri," katanya.

Dia juga tidak menyembunyikan hasrat untuk membawa Maybank sekurang-kurangnya berada dalam kalangan tiga pasukan terbaik musim ini.

"Semua pasukan kuat, apabila tidak ada pemain import saya lihat kekuatan pasukan yang bertanding adalah seimbang. Jadi kita tunggu 3 April ini siapa yang akan ke final (Piala TNB)," kata Najmi Farizal.

Maybank akan memulakan aksi MHL 2021 dengan berdepan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 10:33 PM