Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Arif Abdullah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Arif Abdullah.

Shah Alam: Hasrat membangunkan Surau Al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam di lokasi dengan kapasiti lebih luas dan selesa masih terbantut kerana kekangan kos yang belum mencukupi.

Maka tercetuslah idea tabung infaq surau berkenaan pada pertengahan 2018 dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Arif Abdullah.

Idea dicetuskan itu bagaimanapun hanya dilancarkan pada Mac 2020, sekali gus terbantut saat dunia dilanda pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Kempen tabung infaq dijalankan itu hingga kini hanya berjaya mengumpul dana sekitar RM1.6 juta. Sedangkan jumlah lengkap kos pembinaan semula surau itu diperlukan dalam RM4 juta.

"Walaupun ada RM1.6 juta, kami masih berdepan dengan banyak masalah. Termasuklah tidak dapat memulakan pembinaan bangunan surau baharu yang tertangguh.

"Jadi pihak kami memerlukan baki RM2.4 juta lagi untuk mendapatkan jumlah kos keseluruhan. Kami pun hanya boleh melakukan penyerahan Kebenaran Merancang (KM) membangunkan surau baharu kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) jika jumlah kutipan dana menjangkau 50 peratus yakni sebanyak RM2 juta.

"Kemudian hanya selepas kelulusan diberikan MBSA dengan melepasi kutipan RM2.8 juta, baru boleh mula kerja fizikal. Tapi itulah kekangan kami untuk terus cari dana," katanya.

Keadaan Surau Al-Jannah
Keadaan Surau Al-Jannah

Menurutnya kerja pembangunan sepatutnya bermula Jun tahun lalu namun ia sudah lewat setahun.

"Kami mengharapkan keajaiban dan dengan izin-Nya kutipan yang diperlukan dapat dipermudahkan dengan menyalurkan kutipan ke https://infaqsuraualjannah.com," katanya.

Menurut Arif yang tinggal di seksyen berdekatan, masanya memang banyak dihabiskan di surau.

"Saya banyak menerima pandangan jemaah surau itu yang menyuarakan rasa tidak sesuai lagi kapasiti asal menampung jumlah masyarakat yang bertambah.

"Pada satu tahap, solat Jumaat pun hanya mampu menampung 300 ke 400 jemaah. Namun jemaah yang hadir dua kali ganda.

"Lalu ketika itu, sebagai alternatif pantas, pihak kami hanya mampu menambah enam buah kanopi 20'x20' untuk menampung kehadiran jemaah. Memang nampak daif sangat ketika itu," katanya.

Surau Al-Jannah ini dibina pada 2004. Ia hanya beroperasi setahun selepas itu.

"Dalam tempoh 2005 ke 2018, kita ada buat penambahan kemudahan surau dengan serba kekangan.

"Pada 2018 juga kita memanggil MSR Architect untuk merekabentuk surau yang baru. Hasil perbincangan bersama AJK surau dan pasukan kerja arkitek juga pasukan perunding, mereka syorkan perlu dibina bangunan surau baharu dengan anggaran keluasan 14,000 kaki persegi.

"Keluasan tapak bangunan baru itu dijangka dapat menampung lebih 1000 jemaah dalam satu masa. Untuk semua itu, kita perlu bina bangunan surau baharu selepas merobohkan yang lama," katanya.

Tambah Arif lagi, kawasan tapak asal surau itu bersaiz kecil sekitar 1 ekar sahaja.

"Jadi keputusan merobohkan bangunan surau lama dibuat pada mulanya untuk mewujudkan kawasan parkir kereta dan beberapa kemudahan lain.

"Usaha awal saya dan AJK surau bermula dengan memohon kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuklah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Reka bentuk baharu surau dicadangkan ia bangunan surau dengan dua tingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 11:05 AM