GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
RS Chellachamy


Ekonomi Malaysia hanya berkembang 3.7 peratus tahun lalu. Pakar iktisad sebelum ini meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 akan berada dalam lingkungan empat hingga lima peratus.

Angka itu membuat ramai terutama bijak pandai ekonomi tersentak. Ramalan mereka meleset. Tapi N, tidak ambil peduli pengumuman yang berkenaan yang dihebahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 16 Februari lalu.

Bagi N yang baru dibuang kerja tiga bulan lalu, pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 pada 11 Mac depan lagi memeningkan dia. Bagi dia yang berusia awal 50-an, KDNK adalah masalah negara - biar menteri yang memikir dan mencari solusinya. Masalah yang lagi berat buat dia sekarang ialah mencari wang untuk menampung belanja buka sekolah empat anaknya.

"Dua anak saya di sekolah rendah dan dua lagi di sekolah menengah. Pening nak cari duit. Paling-paling pun saya perlukan dalam RM1,500. Tambang bas sekolah juga dijangka jadi mahal," katanya ketika kami bertemu di sebuah kedai makan yang popular di Bangsar.

N yang turut mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bekerja secara kontrak dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama 13 tahun sebelum khidmatnya tidak disambung pada November lalu.

"Syarikat kata kontrak tak masuk, jadi tak perlu ramai pekerja. Saya antara 10 orang yang kena buang," katanya yang kini membawa kenderaan e-hailing sementara mencari kerja yang lebih 'bagus.'

N juga tidak berapa ambil pusing kejatuhan nilai ringgit. Pada 20 Februari lalu kadar wang mata negara mencecah paras paling merudum dalam tempoh 26 tahun - 4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Setakat tahun ini saja, ringgit sudah jatuh empat peratus.

"Tengok cheese nan ni. Dulu harga RM3.50, besar sikit. Sekarang RM5.50, tapi saiznya dah kecil," katanya sambil mencelup cebisan nan dalam kuah yang cair. Cheese nan adalah satu nikmat besar buat N.

Bagaimanapun, N tetap ada risau mengenai kelemahan nilai ringgit.

"Aku takde la pakai barang import sangat. Tapi, kalau harga ubat naik, kacau juga," katanya yang menghidap penyakit tiga serangkai - kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

"Duit RM50 hari ini macam RM5 saja. Kejap aje habis belanja. Bayangkan beras yang beberapa bulan lalu berharga RM29.80 untuk 10 kilogram kini dijual pada harga RM39.80. Bajet sudah lari," tambahnya.

Isteri N bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan kurang RM2,500. Pendapatan N sebagai pemandu e-hailing dalam lingkungan RM3,500 - itu pun terpaksa bekerja hampir sembilan jam sehari.

"Kalau saya tak keluar memandu, memang tak ada duit masuk. Dalam tiga bulan ni, saya sudah puas cari kerja. Dekat 13 temu duga dah saya pergi. Semua gagal. Saya rasa mereka tak mahu saya sebab saya dah tua," katanya sambil menambah kebanyakan majikan yang menemuduganya hanya menawarkan gaji bawah RM2,500.

N yang saya kenal sejak 30 tahun lalu agak buntu mengenai masa depan keluarganya. Sebuntu pakar ekonomi negara dalam usaha mereka mencari ubat untuk menyihatkan dan memantapkan ekonomi Malaysia. Mereka beri pelbagai sebab musabab untuk kerumitan ekonomi.

Orang besar BNM berkata, kejatuhan prestasi ringgit dipengaruhi beberapa faktor luaran antara pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China yang menyebabkan eksport kita merosot.

Ada pakar berpendapat kadar dasar semalaman (OPR) yang kini ditetapkan pada kadar 3.00 peratus perlu dinaikkan lagi untuk merawat nilai ringgit yang sakit. Manakala yang lain berhujah sebarang langkah untuk memahalkan OPR dilihat hanya akan memburukkan keadaan berikutan kos pembiayaan menjadi makin tinggi dan boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

BNM sudah menaikkan OPR sebanyak lima kali sejak 2022 selepas ia mencecah paras terendah 1.75 peratus pada awal 2020.

Bab OPR ini, N memang peka betul.

"Tolonglah jangan naikkan faedah lagi. Saya dah tak larat bayar pinjaman perumahan. Sejak OPR naik, saya terpaksa keluaran tambahan RM180 untuk bayar ansuran," kata N.

Belanjawan yang defisit sejak hampir 20 tahun lalu, imbangan dagangan yang tidak sihat, hutang negara lebih RM1 trilion, kelemahan dalam kerancakan sektor pengilangan, ketidakstabilan politik dan pemulihan lapangan pelancongan yang perlahan pasca Covid-19 dikatakan antara faktor menggugat ekonomi dan nilai ringgit.

"Tolong fikir dan selesaikan masalah ekonomi. Orang cerdik pandai dilantik untuk selesaikan kerumitan. Jangan bagi alasan. Rakyat sudah penat," kata N sambil menghabiskan koyakan terakhir nannya yang dicalit dengan sambal ikan bilis.

"Dua minggu lagi nak puasa, lepas tu nak raya. Semua ini perlukan duit juga," keluh N lagi.

Seperti kebanyakan rakyat lain, N tidak tahu beberapa perubahan ketara akan berlaku dalam beberapa bulan mendatang ini yang akan memberikan kesannya kepada kehidupan rakyat.

Bermula 1 Mac ini, kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan daripada 6% kepada 8% sementara subsidi minyak diesel yang dinikmati pengguna akan dimansuhkan secara berfasa.

Langkah rasionalisasi subsidi bahan api dan peningkatan cukai SST ini, menurut pakar, berpotensi mendorong inflasi 2024 ke paras 3.2% hingga 3.6% berbanding purata 2.5% tahun lalu.

Saya tidak mahu membuatkan kepala N bertambah berserabut. Biar dia tenang buat sementara ini. N juga belum berdaftar dengan Pangkalan Data Utama (Padu). Dia mahu tunggu dan lihat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:00 AM