Uyaina dan suami.
Uyaina dan suami.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki untuk kehamilan keduanya yang kini berusia tujuh bulan.

Uyaina berkata, dia berharap bayi dalam kandungannya itu sihat dan berjalan lancar.

"Sebagai ibu yang mengandung selama sembilan bulan, saya cuma berdoa agar anak saya sihat serta sempurna akal, fikiran, hati dan fizikal.

"Saya tidak kecewa kerana belum dikurniakan anak perempuan tapi saya sangat bersyukur. Dalam keluarga saya, dua adik-beradik di atas saya adalah lelaki. Kemudian, kakak dan barulah saya.

"Anak buah saya pula seorang sahaja lelaki dan yang selebihnya perempuan. Bila ada Raja Urhan (anak sulung) dan bayi kedua ini, bertambahlah bilangan lelaki," katanya.

Uyaina ditemui pada majlis pengumuman jantina anak keduanya dan pelantikannya sebagai duta bagi suplemen kesihatan kanak-kanak, Baby Ayo Berries Gummy yang berlangsung di ibu kota, Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Raja Syahiran pula meluahkan rasa syukur apabila bakal menimang cahaya mata lelaki sekali gus menjadi tunjang utama buat keluarganya satu hari nanti.

"Saya sangat bersyukur. Lelaki atau perempuan, saya terima saja. Seperti ibu bapa lain, mereka pasti gembira jika mempunyai anak sepasang.

"Bila dikurniakan dua anak lelaki pun saya bersyukur sangat. Mungkin dia boleh menjaga ibu, nenek dan adik-beradiknya yang lain nanti.

"Saya juga berharap agar dapat menjadi seorang bapa dan pemimpin yang baik buat anak-anak saya. Saya juga nak didik mereka menjadi manusia berguna buat masyarakat," katanya.

Bercerita mengenai pelantikannya sebagai duta Baby Ayo, Uyaina berkata, dia menganggap tawaran yang diterima sebagai rezeki buat anak-anaknya.

"Sebagai ibu saya mesti nak yang terbaik untuk anak-anak saya. Jadi apabila mereka melamar saya sebagai duta, saya terlebih dahulu meneliti kandungan yang ada di dalam suplemen ini.

"Tawaran ini memberi peluang kepada saya berkongsi rezeki dengan anak-anak. Segala hasil yang diterima adalah untuk mereka pada masa mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 3:36 PM