Puteri Sarah
Puteri Sarah

Kuala Lumpur: Pembantu peribadi Puteri Sarah dikenali Acu memohon maaf kepada pengikut pelakon itu selepas dikecam hebat netizen kerana didakwa menghisap rokok elektronik atau vape.

Terdahulu, difahamkan ibu tunggal dua anak berkenaan menjadi pehatian wargamaya berikutan aksinya menghisap vape ketika bersiaran langsung di media sosial hingga mengundang kritikan ramai.

Acu berkata, peranti yang digunakan Puteri Sarah itu adalah miliknya, namun vape berkenaan tidak mengandungi sebarang kandungan nikotin.

"Saya tidak berniat mengajar Puteri Sarah melakukan tabiat buruk hisap vape itu. Cuma, apabila dia (Puteri Sarah) mula membebel, saya pun hulurkan (vape). 

"Saya minta maaf sebab terbagi benda itu (vape) kepadanya. Ia kesilapan saya dan minta maaf banyak-banyak kepada peminat Puteri Sarah.

"Pod (vape) ini saya beli di Jakarta dan tidak mengandungi bahan nikotin seperti mana yang dijual di Malaysia," katanya menerusi siaran langsung dilakukan di aplikasi Tiktok.

Menerusi siaran langsung itu, Puteri Sarah turut bersama Acu ketika penjelasan dibuat dan tampil menegaskan vape berkenaan hanya mengandungi perasa tanpa nikotin.

"Anda semua jangan risau. Kalau di Malaysia memang ada nikotin, tapi yang dibeli dari Jakarta ini seperti shisha.

"Ia hanya kosong, tiada nikotin dan hanya mempunyai perasa," kata Puteri Sarah. 

Sebelum ini, tular di media sosial apabila pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu menghisap vape sewaktu siaran langsung di TikTok.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 1:06 PM