Keith Foo pada majlis sesi temu bual bersama pelakon utama drama bersiri Layang-Layang Perkahwinan hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Keith Foo pada majlis sesi temu bual bersama pelakon utama drama bersiri Layang-Layang Perkahwinan hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Keith Foo mengambil pendekatan ketepikan ego agar tidak timbul sebarang pertikaian membabitkan soal penjagaan anak dengan bekas isterinya.

Keith atau pemilik nama sebenar Foo Chuan Chin, 41, yang bercerai secara baik dengan bekas isteri sejak berpisah tiga tahun lalu dan mengekalkan hubungan baik demi anak perempuan mereka.

"Walaupun kami sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri, namun kami masih ibu bapa kepada anak perempuan kami. Kami sama-sama matang dan meletakkan ego ke tepi.

"Tidak perlu bergaduh berebut anak atau perkara yang tidak sepatutnya. Kami yang inginkan anak ini, pada akhirnya kami perlu bertolak ansur dan banyak berbincang.

"Apa pun yang terjadi antara kita, jangan libatkan anak dalam konflik, berbaik sebagai kawan serta sama-sama besarkan zuriat," kata Keith ketika ditemui Harian Metro pada sidang media drama Layang Layang Perkahwinan semalam.

Keith yang membawakan watak Ammar Arafat dalam naskhah itu mengakui belum terfikir untuk menamatkan zaman duda, sebaliknya masih menikmati kehidupan solo.

"Apa yang boleh saya kongsikan, buat masa ini saya tidak mencari calon isteri kerana masih seronok menjalani aktiviti harian selain bersyukur ada kerja, dapat melancong, berkhemah dan sebagainya.

"Kalau nak ke fasa seterusnya pun saya tak memilih atau meletakkan syarat tertentu tetapi kena ambil kira perasaan anak walaupun dia masih terlalu kecil.

"Asalkan anak selesa dengan si dia, sebab kalau letak banyak kriteria nanti takut pula tiada keserasian. Jadi tak gunanya terlampau cerewet," katanya.

Keith mendirikan rumah tangga dengan model, Kim Raymond pada November 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar namun bercerai pada Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 12:36 PM