Ain bersama Amirul dan Soraya.
Ain bersama Amirul dan Soraya.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Anak kepada pelakon dan pengacara, Ain Edruce iaitu Soraya, 3, kini semakin stabil selepas dirawat di hospital sejak kelmarin akibat serangan sawan.

Ain, 33, berkata, Soraya kini sudah kembali aktif dan akan dibenarkan pulang ke rumah hari ini sekiranya keadaannya lebih baik.

"Alhamdulillah, Soraya semakin okay. Petang semalam, demamnya dah tak ada dan dah mula aktif. Amirul (suami) bawa Soraya ke hospital pada Ahad dan memang ditahan untuk dirawat.

"Doktor sarankan agar Soraya dirawat di hospital terlebih dulu untuk dipantau kerana ini kali pertama dia diserang sawan.

"Kalau hari ini keadaannya lebih baik dan menunjukkan kemajuan, dia boleh balik rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ain berkongsi mengenai situasi mencemaskan yang berlaku ketika dia berada di set untuk memulakan siaran langsung program Melodi yang diacarakannya, kelmarin.

"Selepas dia demam di awal pagi, saya masukkan ubat serta basahkan dia. Bila bangun pagi Ahad itu, keadaan dia dah okay sikit.

"Siap boleh main-main dengan ayahnya. Bila saya dah pergi kerja, dia mula menangis teruk dan suhu badan bertambah tinggi sebelum kena serang sawan.

"Ketika saya dapat tahu, saya sebenarnya dah nak mula bersiaran di Melodi," katanya.

Pihak produksi Melodi kemudian melepaskan Ain untuk berkejar ke hospital selepas menerima berita itu daripada pengurus dan suaminya.

"Pengurus saya maklumkan, Soraya dibawa ke hospital sebab tak sihat, sebab dia menangis teruk sampai demam. Tapi, tak diberitahu lagi mengenai serangan sawan sebab takut saya risau.

"Tapi, naluri keibuan saya kuat. Saya hubungi Amirul dan dia beritahu, Soraya kena serangan sawan. Saya menangis teruk juga waktu itu. Macam mana saya nak bekerja dalam keadaan risau begitu.

"Pihak pasukan produksi Melodi faham situasi saya dan lepaskan saya untuk saya terus ke hospital. Bila tengok CCTV, lagilah rasa sedih," katanya.

Ain dan suami, Amirul Hafiz kini perlu lebih berjaga-jaga sekiranya Soraya diserang demam panas memandangkan ada kemungkinan serangan sawan itu akan berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 10:32 AM