Komposer, Ross Ariffin dirawat di Hospital Alor Gajah, Melaka.
Komposer, Ross Ariffin dirawat di Hospital Alor Gajah, Melaka.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Komposer terkenal Ross Ariffin, 61, yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz dimasukkan ke Hospital Melaka selama sebulan dan Hospital Alor Gajah selama 11 hari akibat kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

Kemalangan yang berlaku di depan sebuah hotel Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada Oktober 2023 itu menyebabkan tangannya patah.

Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia Negeri Melaka dan ahli jawatankuasa Karyawan Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar berkata, Ross atau nama sebenarnya Roslan Arriffin Jamil yang dikategorikan gelandangan dibawa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke hospital terbabit.

"Saya bersama penyanyi Zaiton Sameon hadir menziarahinya di Hospital Alor Gajah semalam. Dalam pertemuan itu, dia mengakui tiada sesiapa datang melawatnya.

"Ross juga berharap agar Karyawan dapat membantu mempercepatkan proses pemindahan beliau dari hospital ke rumah orang-orang tua milik JKM. Karyawan Melaka turut menyampaikan sedikit sumbangan dan makanan kepadanya agar dapat meringankan sedikit penderitaan yang ditanggung," katanya kepada Harian Metro

Zainal juga meminta semua pihak mendoakan agar Ross cepat sembuh dan dipermudahkan urusannya.

Terdahulu, pencipta lagu Dia nyanyian Fauziah Latiff ini pernah diserang angin ahmar sebanyak dua kali.

Dia kini hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:23 PM