Pasangan Duo Suami Isteri, Fuad Rahman dan Tom membuat persembahan pada Program Famili Duo 3 di Studio NTV7, Glenmarie. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pasangan Duo Suami Isteri, Fuad Rahman dan Tom membuat persembahan pada Program Famili Duo 3 di Studio NTV7, Glenmarie. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ramlah Zainal


Shah Alam: Penyanyi, Tom, 37, yang kini hamil enam bulan berjanji akan lebih berhati-hati ketika membuat persembahan selepas dia hampir terjatuh ketika konsert minggu kelima, program Famili Duo musim (FD3), Ahad lalu.

Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, dia bersyukur kerana dapat mengawal imbangan badannya dari terjatuh di pentas ketika itu.

"Saya memang takut ketika itu memandangkan saya juga memakai kasut tumit tinggi lebih lima inci ketika itu. Nasib baik dapat kawal imbangan badan," katanya.

Tom yang bergandingan dengan suaminya, Fuad Rahman berkata, selepas ini dia cuba mengurangkan pergerakannya di pentas bagi menjaga keselamatan kandungannya.

"Kalau menyanyi di pentas, saya memang lupa diri sedang hamil. Memang ada netizen yang kecam kerana saya masih memakai kasut tumit tinggi ketika persembahan sedangkan saya sedang hamil," katanya.

Menurut Tom, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa mengenakan kasut tumit tinggi ketika persembahan kerana bertubuh kecil dengan ketinggian 151 sentimeter.

"Kalau tak pakai kasut tumit tinggi, saya memang akan nampak kecil saja di atas pentas," katanya.

Ditanya sama ada dia mampu bertahan sehingga ke pentas akhir dengan keadaan hamil itu, Tom berkata, dia juga mohon peminat mendoakan kesihatannya dan kandungan.

"Setakat ini, kesihatan kandungan juga baik dan tiada masalah. Tak apa, cuma empat minit saja persembahan di pentas.

"Doakan yang baik-baik untuk saya dan kandungan supaya mampu bertahan sehingga ke peringkat akhir FD3 nanti. Pada masa sama, saya juga perlu kawal diri supaya tidak buat persembahan yang berlebihan sangat di pentas," katanya.

Sementara itu, Fuad berkata, dia juga risau dengan keselamatan Tom dan bayi dalam kandungan isterinya itu.

"Sebagai suami, saya juga menasihatkan Tom supaya lebih berhati-hati ketika buat persembahan di pentas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Bertemakan Idola dan Legenda, pasangan Tom dan Fuad berjaya meraih tempat ketiga pada konsert minggu kelima FD3 sekali gus meningkatkan kedudukan markah terkumpul mereka yang sebelum ini berada di tangga tiga terbawah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 11:08 AM