Pelakon filem Cerana Biduk Bu Merah, Pekin Ibrahim pada majlis pra tayangan di TGV A2 Aeon Setiawangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pelakon filem Cerana Biduk Bu Merah, Pekin Ibrahim pada majlis pra tayangan di TGV A2 Aeon Setiawangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Najiy Jefri


Petaling Jaya: Pelakon Pekin Ibrahim, 42, 'membelasah' seorang kru produksi yang didakwa mengintai pelakon wanita baharu, Sara Daewoo ketika menjalani penggambaran filem seram Cerana Biduk Bu Merah pada 2018.

Menceritakan kembali kejadian tidak bermaruah itu, Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim berkata, dia menyedari perkara terbabit selepas dimaklumkan oleh Sara kepada rakannya.

"Ketika kejadian saya dan rakan sedang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran. Sementara Sara masih berada di inap desa wanita.

"Sara mengadu kepada kawan saya, ada seorang kru mengintai dan merakam menggunakan telefon bimbit, lantas kami patah balik ke sana.

"Apa yang membuatkan saya hilang sabar adalah ketika kami tiba kru itu mengajak saya solat berjemaah. Siap bentangkan sejadah lagi.

"Ketika saya meminta untuk memeriksa telefon bimbit miliknya, kru itu memberikan alasan dan mungkin sedang memadam bukti.

"Saya yang geram terus membelasah kru terbabit dan menghubungi pengarah, Haizul Anafer Ali dan kru itu dibawa ke balai polis," katanya.

Menurut Pekin, ini adalah kali pertama dia berdepan dengan situasi sebegitu selepas lebih sedekad bergelar pelakon.

"Biarpun filem Cerana Biduk Bu Merah adalah filem seram, saya rasa kes ini lebih seram berbanding cerita yang kami lakonkan.

"Saya tak sangka berhadapan dengan perkara terbabit, sepanjang terlibat dalam bidang lakonan sejak tahun 2002, ini pengalaman pertama berhadapan kes gangguan seksual.

"Saya kesal kerana ada kru itu melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sudahlah dia melakukan perkara tidak bermoral, dia sempat 'menunggang agama' dan berpura-pura mengajak solat," katanya.

Filem terbitan Goldhill Pictures yang menjalani penggambaran pada 2018 itu akhirnya bakal menemui penonton pada 12 Oktober ini.

Selain Pekin dan Sara, filem ini dibintangi oleh Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Pyan Kepoh dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 1:44 PM