HUN Haqeem
HUN Haqeem
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Syukur, alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan saya juga sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah, semalam," kata pelakon Hun Haqeem.

Hun berkata demikian ketika diminta mengulas pembedahan pada bahagian lutut akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika penggambaran drama W: Two Worlds beberapa bulan lalu.

Pembedahan itu dijalankan di hospital pakar di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Menurut Hun atau nama sebenar, Haqeem Hermy, 25, kakinya masih belum dapat bergerak dengan baik selepas pembedahan terbabit.

"Saya dapat tidur lena semalam tetapi tidak boleh nak pusing kaki seperti biasa," katanya.

Ditanya bila kecederaan bahagian lututnya itu dijangka pulih, kata Hun, doktor memberitahu ia dijangka mengambil tempoh kira-kira enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

"Doktor juga memberitahu saya dijangka boleh berjalan seperti biasa dalam tempoh empat minggu lagi.

"Saya juga akan menjalani rawatan fisioterapi sebagai rawatan susulan di hospital sehingga kecederaan pulih," katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan karier lakonan pula, kata Hun, dia akan berehat seketika dari bidang lakonan untuk memastikan kecederaan itu pulih sepenuhnya.

"Saya merancang untuk berehat sehingga hujung tahun ini dan kembali ke lokasi penggambaran pada awal tahun depan.

"Pada masa sama, saya juga sudah selesaikan komitmen kerja lebih awal sebelum menjalani pembedahan ini," katanya.

Pada masa sama, Hun turut mengucapkan terima kasih kepada rakan artis, pelakon Hairul Azreen yang berkongsi tips dan video tutorial apa yang perlu dilakukan selepas pembedahan terbabit.

"Hairul juga pernah menjalani pembedahan yang sama sebelum ini dan tutorial itu sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk segera pulih dari pembedahan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 12:42 PM