M.A.X mahu lakar kejayaan sendiri tanpa dibayangi May.
M.A.X mahu lakar kejayaan sendiri tanpa dibayangi May.
Ridzuan Abdul Rahman

CUBA lari daripada bayangan kumpulan lamanya MAY. Itu cuba dilakukan pemain drum, Man apabila menubuhkan kumpulan terbarunya, M.A.X.

M.A.X atau perkataan penuhnya Maximum turut menampilkan AG selaku penyanyi, Lan Taro (gitar), Oney (gitar) dan Deen (bass).

Man, 58, atau nama sebenarnya Mohamad Saarip Yaakob, 58, berkata, M.A.X ditubuhkan hasil ideanya sendiri dan tidak perlu dikaitkan atau disamakan dengan MAY.

"Selepas keluar dari MAY, saya rasa lebih bebas. Saya merancang sesuatu yang baru dan berbeza. Memang nampak macam iras MAY tapi ada perbezaan dari segi 'guitar works'.

"Kalau gaya permainan dram saya tak boleh nak ubahlah kerana ia memang 'signature' saya dari dulu. Tapi saya lebih selesa dengan M.A.X. Semuanya rasa macam adik-beradik.

"Sebenarnya kalau nak guna nama MAY pun tiada masalah. Sebab MAY pun saya antara pengasasnya. Saya dan Abu (pemain gitar) yang mulakan. Tapi bila saya dah keluar, takkan saya nak bawa nama itu sekali," katanya.

Man yang berundur dari MAY pada 2021 tidak mahu memikirkan berkenaan nama kerana matlamat utamanya ialah pada kualiti muzik dan lagu yang ditampilkan.

"Saya buat dengan cara yang ikhlas. Saya selesa untuk buat nama baharu dan tidak bergantung harap kepada nama kumpulan lama. Saya wujudkan nama kita sendiri.

"Saya juga mempunyai saluran YouTube yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai. Jadi apa-apa saja aktiviti M.A.X, saya akan muat naik di situ," katanya.

Man berkata, mereka sebenarnya tiada masalah jika mahu menyanyikan semula lagu kumpulan MAY memandangkan kebanyakan lagu kumpulan itu banyak dihasilkan olehnya dan Oney.

"Kalau bawa lagu itu tiada masalah kerana lagu kita. Mungkin masa akan datang kami akan rakam semula. Mana tahu nanti. Lagu-lagu MAY juga bukan milik individu sebaliknya milik syarikat rakaman," katanya.

M.A.X kini tampil dengan album sulung berjudul Anugerah memuatkan 12 lagu termasuk lagu saduran bertajuk Hati Muda yang diterbitkan oleh Oney yang juga bekas penyanyi Lipan Bara dan MAY suatu ketika dulu.

"Kami masih membawa konsep heavy metal. Anugerah dihasilkan sepenuhnya oleh ahli M.A.X bermula dari aspek penggubahan lagu, penulisan lirik, rakaman studio sehingga penghasilan kulit album.

"Ramai juga hairan kenapa saya tak pilih Oney sebagai penyanyi. Saya tanya Oney posisi apa dia nakkan? Kalau dia nak menyanyi, kita ada dua penyanyi. Mula-mula saya nak bagi dia main bass tapi dia kata tak minat main bass.

"Katanya kalau gitar utama okey. Saya pun bagi dia posisi itu. Tapi memandangkan dia penyanyi, saya bagi dia menyanyikan lagu Armani dan duet dengan AG berjudul Anugerah. Kami juga ada nyanyian beramai-ramai menerusi Hati Muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:20 AM