KUMPULAN Ruffedge ada aura tersendiri gamatkan 4,500 peminat. - FOTO Rohanis Shukri
KUMPULAN Ruffedge ada aura tersendiri gamatkan 4,500 peminat. - FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


Penyatuan mereka bukan hanya diterjemahkan menerusi karya muzik. Malah lebih dari itu Ruffedge adalah gambaran persahabatan yang terjalin sejak zaman remaja dan berterusan sehingga kini.

Keakraban anggota kumpulan vokal R&B terkenal negara ini sukar dinafikan lagi dan ia menjadi satu tarikan indah di mata peminat untuk setia bersama mereka sejak awal kemunculan pada 1998 membawa ke era lebih dua dekad.

Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain tampil menggamatkan suasana ibu kota menerusi Konsert Ruffera: That Moment In Time Tour di Mega Star Arena, Plaza Sungei Wang, Kuala Lumpur.

Menariknya mereka turut memilih menampilkan DJ Uno yang selama ini sinonim dengan muzik dan persembahan Ruffedge.

Kehadiran lebih 4,500 peminat ternyata memberikan semangat luar biasa buat mereka yang menampilkan persembahan menerusi 25 lagu lebih dua jam tanpa henti.

Ruffedge memberikan kepuasan maksima dengan rangkaian lagu-lagu popular mereka seperti Goyang, Tiada Lagi Cinta, Tipah Tertipu, Lemas, Da Bomb, Bila Rindu, Khayalan dan banyak lagi.

Momentum yang bercampur antara mood rancak, sentimental dan memori dibawah kendalian pengarah muzik tersohor, Datuk Acis ternyata disambut ceria oleh penonton.

Mereka seakan tidak jemu dan tidak puas menanti lontaran demi lontaran vokal yang dialunkan oleh penyanyi pujaan mereka.

Faktor usia mungkin menjadi penyebab persembahan Ruffedge agak terbatas, tetapi kesungguhan mereka menyanyi sambil beraksi ligat di atas pentas bukanlah satu perkara mudah.

Ruffedge wajar dipuji kerana mencuba sedaya upaya sehabis baik menghiburkan peminat yang datang menonton.

RUFFEDGE turut mengundang Lah beraksi dalam konsert mereka. - FOTO Rohanis Shukri
RUFFEDGE turut mengundang Lah beraksi dalam konsert mereka. - FOTO Rohanis Shukri

p />

Selain persembahan berkumpulan, kelainan turut dilakukan apabila setiap anggota Ruffedge ditampilkan menyanyi solo bagi membuktikan kemampuan vokal kepada peminat.

Paling menarik perhatian apabila Azan tampil menyanyikan klasik Kenang Doaku Dalam Doamu yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri SM Salim. Nyanyiannya yang sepenuh jiwa ternyata memukau penonton yang hadir.

Tidak ketinggalan ditampilkan ialah medley lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah seperti Azura, Suraya nyanyian kumpulan Headwind dan Rozana oleh kumpulan Search dalam rentak R&B yang nyata berbeza.

Penampilan istimewa Lah Ahmad menerusi lagu Ayu antara strategi yang paling menarik dan meninggalkan momen tersendiri dalam konsert ini.

Sorakan penonton yang berterusan tanpa henti sejak intro lagu ini dimainkan membuatkan Lah agak sebak untuk memulakan nyanyian.

CAT dan Farhana mengembalikan kenangan peminat terhadap kumpulan The Fabulous Cats. - FOTO Rohanis Shukri
CAT dan Farhana mengembalikan kenangan peminat terhadap kumpulan The Fabulous Cats. - FOTO Rohanis Shukri

Ia memaksa Azan mencelah dengan gurauan meminta mereka diam kerana situasi itu merentap emosi Lah untuk menyanyi.

Sesungguhnya gandingan Lah dan Ruffedge mencipta satu keserasian tersendiri yang meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Ruffedge yang teruja melahirkan kesyukuran dengan sambutan hebat penonton pada malam itu.

"Alhamdulillah rezeki Allah dah tentukan. Kepada yang datang terima kasih kami ucapkan. Kami bersyukur sangat-sangat. Kami pun tak mahu berhenti di sini dan tahun depan kami ada sesuatu yang istimewa," kata Sein mewakili rakan-rakannya.

Konsert Ruffera: That Moment In Time Tour dianjurkan oleh YOLO Asia & Malaysia.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah berkata, majoriti peminat Ruffedge hadir seawal jam 5 petang bagi menghadiri konsert terbabit.

"Kami di YOLO sangat terharu dengan sambutan ini. Ruffedge sememangnya 'Da Bomb' dan tidak pernah mengecewakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 6:49 AM