Pelakon, Ellie Suriaty, ketika sidang media 3 karya baharu, Tanah Kubur Siri 16, Bukan Cinta Sempurna & Budak Hostel Otaknya Sewel di DADI Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelakon, Ellie Suriaty, ketika sidang media 3 karya baharu, Tanah Kubur Siri 16, Bukan Cinta Sempurna & Budak Hostel Otaknya Sewel di DADI Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon, Ellie Suriaty belum bertemu pengganti selepas bercerai dengan bekas suami, Azri Iskandar.

Ellie juga menganggap tiada lelaki yang berani mendekatinya kerana persepsi yang diberikan terhadap dirinya.

Ellie berkata, dia menyerahkan kepada mereka di luar sana untuk mempunyai persepsi tersendiri. Malah, dia juga tidak mempunyai masa kerana memberikan sepenuh fokus terhadap kerjaya dan keluarganya.

"Tidak perlulah bercerita mengenai saya. Kenapa tiba-tiba pula bercerita mengenai saya pula? Saya tidak rasa ada lelaki yang berani untuk mendekati atau 'approach' saya kerana beberapa persepsi mengenai saya.

"Namun terpulang kepada mereka untuk mempunyai persepsi itu. Apatah lagi saya jarang keluar di tempat yang ramai orang, selalunya atas urusan kerja saja. Jadi, anda rasa saya mempunyai masa untuk semua itu? Rasanya tidaklah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kekasih bekas suaminya iaitu Dr Azra, Ellie masih menunggu wanita terbabit untuk datang dan bertemu dengan anak-anaknya.

Katanya, jika seseorang mahu berada dalam hidup Azri, dia perlulah jujur mengenainya.

"Saya dah kata sebelum ini mengenai perkara ini. Kenapa tak muncul lagi? Jika benar wujud, munculkan diri dan kenali anak-anak saya jika dia nak masuk dalam hidup Azri. Jadi, saya doa kepada Allah SWT supaya Azri dikurniakan isteri yang baik dan akan menjaganya juga dengan baik," katanya.

Ellie dan Azri bercerai talak satu pada 17 Mei tahun lalu.

Mereka memiliki dua anak iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Azri dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31; Farah Qistina, 29; dan Nur Anis Mastura, 27.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 4:03 PM