Nurul Shuhada Mat Shukri hadir  di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi pengesahan lafaz cerai terhadap suaminya, Hafidz Rosdi. FOTO FAIZ ANUAR
Nurul Shuhada Mat Shukri hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi pengesahan lafaz cerai terhadap suaminya, Hafidz Rosdi. FOTO FAIZ ANUAR
Syafil Syazwan Jefri

 

Shah Alam: Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri bersyukur atas kelancaran proses keputusan perceraian mereka yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Shuhada, 29, yang hari ini sah bercerai dengan talak satu berkata, dia kini lebih bersemangat dan hanya bergantung kepada Allah sahaja. 

"Alhamdulillah, syukur kerana Allah permudah dan lancarkan semuanya. Allah dah angkat satu beban dan hati saya rasa sangat lega. 

"Saya lebih bersemangat dan tak bergantung lagi kepada orang lain. Saya hanya bergantung kepada Allah sahaja," katanya. 

Menurut Shuhada, perkara pertama yang ingin dilakukannya adalah untuk sujur syukur kepada Allah. 

"Perkara pertama yang saya nak buat adalah, saya nak sujud syukur kepada Allah sebab beri peluang kepada saya untuk rasa menjadi isteri orang dan sekarang, ibu tunggal. 

"Allah dah tulis dengan cantik," katanya. 

Tambahnya, dia ingin memberi tumpuan kepada cita-citanya di samping memberikan keselesaan buat kedua-dua cahaya matanya, Humairah dan Umar. 

"Perancangan baharu, mungkin lambat lagi kerana saya nak fokus kepada diri sendiri dan capai cita-cita saya. Saya nak bagi anak-anak selesa dan berjaya dahulu. 

"Insya-Allah, saya akan sambung belajar. Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah dalam masa terdekat," katanya. 

Hafidz dan Shuhada bercerai dengan talak satu selepas Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin membacakan keputusan mahkamah, bahawa lafaz cerai yang dibuat pada 22 Februari lalu adalah sah. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 12:09 PM