BOY Iman antara lima individu, termasuk pengarah syarikat penganjuran festival raya Hooray X Fest di Pusat Dagangan Putra (WTC). FOTO Eizairi Shamsudin
BOY Iman antara lima individu, termasuk pengarah syarikat penganjuran festival raya Hooray X Fest di Pusat Dagangan Putra (WTC). FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: "Lawan tetap lawan, sampai menang. Saya memang nak gugurkan kes ini sebab saya tak bersalah," kata pelakon dan penerbit, Boy Iman, 43, ketika ditemui selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, berkata, dia ada hak untuk membela dirinya kerana tidak bersalah atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya, tiga bulan lalu.

"Saya ada hak, jadi saya lawan. Kalau saya salah lainlah," katanya turut menafikan dia diperangkap.

Katanya lagi, mereka selaku orang kena tuduh (OKT) hanya bekerja dalam syarikat berkenaan dan tidak patut pekerja yang kena menanggung pertuduhan.

Terdahulu, Boy Iman menerusi peguam yang mewakilinya, Johan Ariff Salim Khan memberitahu mahkamah akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival berkenaan.

Johan Ariff berkata, pihaknya akan memfailkan representasi itu kepada pihak pendakwaan dalam tempoh masa terdekat ini.

"Pihak kami baru saja dilantik. Oleh itu, kami akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami.Mohan satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah," katanya turut mewakili seorang lagi individu, Nor Azmi Jantan, 49.

Terdahulu, sebutan semula kes Boy Iman dan Nor Azmi berserta Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51, didengarkan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin.

Sehubungan itu, mahkamah juga menetapkan tarikh 28 Ogos depan bagi sebutan untuk semua kes.

Pada 25 April lalu, Boy Iman dan tiga individu terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan 'booth' atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, sehingga  menyerahkan RM1,500 pada 2.34 pagi, 19 April lalu di WTC.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 2:14 PM