Rody Kristal
Rody Kristal
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Demi isteri dan anak-anak! Untuk itu, gitaris kumpulan Kristal, Rody tidak kisah membanting tulang dan tenaga mencari rezeki tambahan untuk keluarganya dengan membuka kafe Kopi dan Bootik.

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, 36, berkata, industri muzik banyak persaingan dan ada yang menawarkan harga murah.

"Jadi saya berfikir perlunya ada pendapatan tambahan untuk menyara keluarga. Saya mula berniaga kafe Kopi dan Bootik sejak Ogos tahun lalu secara menumpang sewa di kedai orang di Country Heights Kajang.

"Apabila pemilik kedai buat keputusan nak berpindah, saya buat keputusan tak ikut dan pada Disember saya dan isteri, Nur Izwani Azman putuskan untuk buka kafe. Kami akhirnya sewa kedai tingkat satu di Goodview Heigts Kajang.

"Februari lalu kami mula beroperasi di mana konsepnya kafe ada bootik barangan sukan. Konsepnya santai dan paling utamanya ialah air kopi expresso di mana bancuhannya adalah eksperimen sendiri dengan nama lagu-lagu popular Kristal," katanya kepada Harian Metro.

Selain kopi, kafe ini turut menyediakan pelbagai menu lain seperti ice blended, dessert serta makanan lain yang dibuka dari jam 12 tengahari sehingga 9 malam.

"Satu lagi tempat saya buat warung Kopi & Bootik di tepi jalan dekat Taman Impian Ehsan Balakong. Ia seperti kiosk bergerak kalau ada acara. Tempoh operasi dari jam 12 tengahari sehingga 5 petang. Ayah saya jual sup utara di situ.

"Pendapatan dikira okey walaupun agak 'struggle'. Untuk kafe di Kajang, modal memang tak cukup untuk buat iklan dan pasang papan tanda. Saya pula banyak tumpukan pada warung.

"Kadangkala di warung ramai orang dan kafe pula berkurangan. Apapun pendapatan dari kafe dikira cukup-cukup makan, dapat bayar sewa dan bayar barista. Orang kata meniaga kena ambil masa dan saya sekarang hanya bertahan," katanya.

Mengulas berkenaan kumpulan Kristal, Rody berkata, mereka masih aktif memenuhi tawaran mengadakan persembahan dan bakal mengadakan konsert tribute tidak lama nanti.

Bagaimanapun Rody mengakui undangan untuknya mengiringi persembahan artis lain di kaca TV agak berkurangan berbanding dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 2:46 PM