KHALIL Salleh
KHALIL Salleh
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh memaklumkan, pihaknya dalam proses menyelesaikan polemik hangat pelakon dan kru bekerja sehingga 20 jam sehari dalam masa terdekat. 

Menurutnya, isu ini akan diatasi menerusi pembentukan satu jawatankuasa bertujuan menyelesaikan semua isu berbangkit 

berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.

"Kami bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Kementerian Sumber Manusia. Menerusi kerjasama strategik ini, Profima diberi ruang menubuhkan jawatankuasa bertujuan menyelaraskan kontrak membabitkan pekerja filem dan majikan (penerbit).

"Selain Profima bertindak sebagai peneraju, turut berada di bawah jawatankuasa termasuklah wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan JTK.

"Anggota jawatankuasa juga membabitkan wakil persatuan seni berkaitan seperti Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Penerbit Filem (PFM) yang mewakili majikan, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia," katanya kepada Harian Metro. 

Khalil berkata, jawatakuasa yang dibentuk ini akan merangka satu kontrak standard antara kru, pelakon dan penerbit atas nasihat serta persetujuan Finas, JTK dan bersesuaian dengan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022).

"Insya-Allah, jawatankuasa ini akan mula bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Banyak isu akan disentuh selain isu kerja lebih masa antaranya isu kontrak pekerja di belakang tabir.

"Apabila ada satu kontrak standard dan dipersetujui semua pihak berkaitan, segala masalah serpihan membabitkan pekerja bebas akan dapat diselesaikan," katanya.

Menurutnya, antara lain kontrak ialah 

membuat ketetapan berkaitan kadar upah dan kebajikan pekerja.

"Selain isu kerja lebih masa, saya sering mendapat aduan apabila ada majikan yang lambat bayar gaji ataupun upah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

"Dengan penubuhan jawatankuasa ini, saya yakin menerusi input dan kerjasama yang diberikan, masalah dalaman akan berakhir, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih positif di lokasi penggambaran.

"Jangan takut untuk berkongsi dengan kami kerana kami hanya mahukan bukti, manakala identiti pekerja akan dirahsiakan," katanya. 

Khalil turut meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir penerbit yang bersikap biadap dan gemar memaki hamun pekerja sesuka hati.

"Sebagai persatuan, kebajikan pekerja adalah tanggungjawab dan kami tidak akan membiarkan sikap biadap penerbit terus berleluasa, sekali gus menjadi barah dalam industri.

"Kami memandang serius mengenai perkara ini dan bercadang bertemu dengan pihak majikan iaitu PTVM dan PFM untuk membincangkan isu ini.

"Buat masa ini, kami belum merancang mengambil tindakan, namun jika ia berlarutan dan melampaui batas, kami tidak teragak-agak untuk menyenarai hitam penerbit berkenaan," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 5:38 PM