Pelakon Korea Selatan, Song Ji-hyo.
Pelakon Korea Selatan, Song Ji-hyo.

Kuala Lumpur: Pelakon Korea Selatan, Song Ji-hyo, 42, semakin disayangi ramai khasnya peminat Malaysia selepas videonya berinteraksi menggunakan bahasa isyarat dengan peminat di sebuah acara di sini jadi tular.

Keramahan Song Ji-hyo atau nama sebenarnya Cheon Soo-yeon menyapa dan memeluk beberapa peminat cilik serta penjaga mereka itu benar-benar menyentuh hati ramai.

Bahkan, ramai mengakui pelakon yang popular menerusi program aneka ragam Running Man itu tidak pernah mengecewakan dan terbaik dalam melayan setiap peminatnya.

"Dia yang terpaling 'best' (terbaik) dalam melayan peminat setakat ini. Tak ada yang boleh lawan dia. Sifat mesranya ikhlas dan sentiasa memberi perhatian dekat semua peminat dia," komen seorang netizen.

Video tular terbaru itu juga membuktikan bahawa Song Ji-hyo sangat penyayang terhadap kanak-kanak.

"Inilah sebabnya kenapa saya sangat sayang Ji-hyo kerana saya pernah lihatnya santuni kanak-kanak miskin di Filipina beberapa tahun lalu.

Ji-hyo sangat baik kepada mereka bahkan siap menangis," kata seorang netizen pula.

Video berdurasi 30 saat itu dikongsi pemilik akaun TikTok @sngmysn semalam. Ia meraih tontonan lebih 545,000 kurang dari sehari, tanda suka lebih 95,000, dan dikongsi lebih 2,700.

Ji-hyo bertandang ke ibu kota untuk membuat penampilan khas pada majlis anjuran jenama farmasi, kelmarin. Dia sempat luangkan masa berjalan-jalan di sekitar Bukit Bintang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 3:11 PM