ZAKI Yamani. FOTO Owee Ah Chun
ZAKI Yamani. FOTO Owee Ah Chun
Georgie Joseph

Kuala Lumpur : Penyanyi, Zaki Yamani, 17, bercita-cita menjadi pensyarah Bahasa Inggeris sebagai kerjaya masa depan selain menyanyi.

Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidilla berkata, dia mahu memiliki jaminan pendapatan dan berjaya sebagai anak seni disanjungi seperti Datuk Syafinaz Selamat.

"Memang minat Bahasa Inggeris sejak dulu. Saya jadikan Datuk Syafinaz sebagai contoh. Beliau seorang pensyarah, dalam masa juga mengajar vokal. Walaupun ada jatuh bangun, beliau masih ada kerja tetap.

"Bila habis sekolah, saya pun bercita-cita menjadi pensyarah tetapi dalam masa sama menyanyi juga. Sekurang-kurangnya ada kerja tetap selain menyanyi. Kita tak tahu masa depan macam mana. Kalau tak ada tawaran menyanyi, sengsara juga.

"Saya pun tak boleh jangka nasib karier seni nanti. Kalau saya tak dapat menyanyi, saya masih ada kerja lain. Saya boleh jana pendapatan dari situ," katanya.

Zaki akui dia memang meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris sejak kecil lagi.

Ketika itu, hampir setiap masa dia bertutur dalam bahasa itu disebabkan faktor sekelilingnya.

"Sewaktu saya darjah satu hingga empat, saya belajar di sekolah antarabangsa dan memang kena bertutur dalam Bahasa Inggeris. Ketika itu, saya pun masih tinggal dengan datuk dan nenek yang juga pensyarah.

"Mereka akan bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan saya di rumah. Cumanya apabila berpindah ke sekolah agama selepas itu, penguasaan Bahasa Inggeris saya bertukar kekok," katanya.

Anak penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah itu berkongsi, keinginan menjadi pensyarah itu tercetus hujung tahun lalu.

"Kalau ikutkan, saya ingin jadi jurutera tapi macam tak sesuai dengan kemampuan saya pula. Entah kenapa bila semakin naik usia, saya semakin ambil berat mengenai masa depan.

"Saya pun sudah terfikir ingin buka perniagaan, beli rumah untuk disewakan dan menjadi pensyarah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 1:30 PM