Zara Zya
Zara Zya
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Zara Zya, 37, mengaku melakukan suntikan vitamin pada wajah dan bibirnya berikutan faktor perubahan hormon dan usia makin meningkat yang memerlukan penjagaan kulit lebih rapi.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, bagaimanapun usaha yang dilakukan itu sama sekali tidak bertujuan cuba membuat perubahan pada wajahnya.

"Sejujurnya memang ada beberapa klinik menaja saya membuat rawatan wajah. Lagipun, usia saya semakin meningkat dan mula timbul kedutan pada kulit. Jadi, saya buat sedikit suntikan.

"Tetapi, ia lebih kepada suntikan vitamin pada kulit saja untuk menampakkan wajah lebih tegang dan bibir yang segar. Kulit pun jadi lebih gebu dan berwarna kemerah-merahan semula," katanya dalam temubual bersama Melodi TV3, baru-baru ini.

Zara berkata, dia sekadar mengambil peluang dengan adanya kaedah rawatan kulit disediakan klinik estetik sesuai.

Jelasnya, ia juga bukan satu kesalahan sekiranya suntikan diambil lebih kepada vitamin.

Mengulas kritikan netizen yang mungkin mengecam tindakannya, Zara berkata dia tidak kisah sekiranya menerima komen negatif kerana ia luahan pendapat masing-masing.

Katanya, sekarang pun dah ramai orang mengambil suntikan vitamin pada wajah untuk tampil cantik.

"Saya tidak kisah orang nak cakap apa dan terpulanglah. Lagi pula, dah ramai orang buat (suntikan wajah) sekarang ini. Tapi, mungkin ada orang yang tidak ditawarkan peluang, namun bila dah memperolehnya mesti nak cuba juga.

"Dalam media sosial, orang boleh cakap apa saja. Nak buat atau tidak, terpulang. Saya adalah seorang selebriti, jadi semestinya saya kena menjaga penampilan diri secara keseluruhan," katanya.

Mengulas juga soal jodoh, Zara berkata dia akan berkongsi sekiranya sudah mempunyai tarikh dipilih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:11 PM