Anggota Caliph Buskers, dari kiri ialah Nirwan, Fendy, Azmi dan Zaki.
Anggota Caliph Buskers, dari kiri ialah Nirwan, Fendy, Azmi dan Zaki.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kumpulan Caliph Buskers masih belum mendapat bayaran RM10,000 daripada penganjur persembahan di Pulau Pinang yang disertai mereka pada 9 dan 10 Disember lalu.

Pemain dram kumpulan itu, Fendy Adlun berkata, pihak penganjur terbabit meminta Caliph Buskers memberikan mereka masa sehingga hujung bulan ini untuk melunaskan bayaran berkenaan kerana tidak mempunyai kewangan yang cukup.

"Buat masa ini, Caliph Buskers mengambil tindakan memberi ruang dan peluang lagi kepada pihak penganjur terbabit seperti diminta oleh mereka. Kami masih bertolak ansur dan mahu berkompromi (menunggu bayaran).

"Sebenarnya, jumlah bayaran dijanjikan penganjur kepada Caliph Buskers ialah RM10,300, yang mana RM300 itu adalah duit tambang untuk perjalanan kami ke Pulau Pinang. Bagaimanapun, sesen pun tidak dibayar lagi," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang seperti membuat laporan polis, Fendy berkata Caliph Buskers masih mahu bertoleransi dengan pihak penganjur dan kalau boleh biarlah dapat diselesaikan secara berhemah.

Mengulas juga sama ada ini kali pertama mereka berhadapan isu persembahan tidak dibayar, Fendy berkata, selama kira-kira lapan tahun Caliph Buskers aktif menyanyi, situasi berlaku itu adalah kali yang ketiga.

Katanya, mereka (Caliph Buskers) dah ada pengalaman sebelum ini, tapi terkena lagi.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Caliph Buskers yang dianggotai pemuzik cacat penglihatan merayu pihak penganjur 'show' (persembahan) yang disertai mereka di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Disember lalu agar melunaskan bayaran RM10,000 seperti dijanjikan.

Ia berikutan, ahli Caliph Buskers berserta kru mereka yang terbabit sama pada persembahan itu sangat memerlukan wang berkenaan untuk menyara keluarga kerana pembabitan dalam karier seni adalah punca pendapatan utama mereka.

Terdahulu, kisah luahan rayuan bayaran terhadap penganjur terbabit dikongsikan Caliph Buskers di media sosial mereka seperti Instagram dan Facebook. Ini kerana, mereka pergi dan balik daripada 'show' itu dengan tangan kosong.

Selain Fendy, Caliph Buskers dianggotai Azmi Saat sebagai vokalis, Zaki Ismail (pemain gitar bass) dan Nirwan Zainalabidin (pemain gitar).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 12:49 PM