Anita Baharom
Anita Baharom
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Anita Baharom, 39, mengakui dia perlu menahan sabar terhadap segelintir individu yang menghantar mesej secara DM (direct message) ke Instagram, selepas mengetahui dirinya bakal berkahwin lagi.

Anita berkata, ada individu menghantar mesej supaya dia menunggu sekurang-kurangnya setahun selepas pemergian suami, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail yang meninggal dunia pada 1 Januari lalu.

"Saya hanya mampu bersabar menerima mesej-mesej seperti itu. Kalau jawab nanti, dibimbangi jadi persepsi lain pula. Apapun, saya berterima kasih sebab masih ramai lagi yang mengirimkan mesej positif melalui Instagram, termasuk mengucapkan tahniah di atas jodoh ini.

"Pada saya, biarlah orang nak cakap apa saja kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang saya tanggung. Apa trauma saya alami hingga sekarang. Mereka tidak duduk di tempat saya dan buat apa nak melayan dan terlalu memikirkannya.

"Saya anggap kehadiran jodoh baharu ini rezeki daripada Allah. Setiap orang itu, dugaan dan jalan hidup ditempuhi berbeza-beza. Saya pula menerima semua ini dengan dengan rasa syukur, reda dan seikhlas hati," katanya kepada Harian Metro.

Anita yang dikenali menerusi drama Dunia Baru dan Keluarga Iskandar bakal bernikah kali kedua Khamis ini dengan Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, di Subang Jaya, Selangor.

Difahamkan, bakal suami Anita berstatus duda. Namun, kedua-dua mereka sudah saling mengenali sejak 2017 ketika acara Sukan Sea di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, hubungan pasangan ini mula rapat selepas Anita habis edah selepas kematian suaminya. Perancangan perkahwinan pula dibuat mereka pada November lalu.

Engku Isyamuddin yang bekerja sendiri sebelum ini adalah Pengurus Penajaan dan Pengaktifan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd.

Terdahulu, hasil perkahwinan selama 16 tahun Anita bersama Allahyarham Mohd Ismadi, mereka dikurniakan tiga anak, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 1:18 PM