LYLE, sang buaya yang pandai menyanyi.
LYLE, sang buaya yang pandai menyanyi.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM: Lyle, Lyle, Crocodile

PENGARAH:Will Speck dan Josh Gordon

PENULIS SKRIP: William Davies

PELAKON: Javier Bardem, Constance Wu, Winslow Fegley, Scoot McNairy, Brett Gelman dan Shawn Mendes

TERBITAN: Columbia Pictures, Eagle Pictures dan TSG Entertainment II

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

BAGI peminat filem bercorak komedi muzikal, saya mencadangkan kalian meluangkan waktu menonton filem terbaharu berjudul Lyle, Lyle, Crocodile.

Sebelum melangkah ke pawagam untuk menonton sendiri filem ini, saya sempat membelek-belek beberapa ulasan mengenai karya ini.

Rata-rata pengkritik filem dari pelbagai negara memberikan kritikan positif, sekali gus menambah satu lagi nilai tarikan untuk saya hadir ke pawagam.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan mengenai buaya yang memiliki kemampuan luar biasa iaitu menyanyi.

Pada awalnya, dia dipelihara oleh Hector P Valenti yang juga ahli silap mata.

Namun, kerjaya Hector tidak menjadi, bahkan matlamatnya untuk menjana pendapatan menggunakan kelebihan Lyle juga tidak berkesan apabila Lyle sentiasa gemuruh ketika berada di pentas.

Disebabkan kerjayanya semakin merosot, Hector akhirnya kehilangan rumahnya dan terpaksa meninggalkan Lyle sendiri.

Lapan belas bulan kemudian, rumah itu dibeli keluarga Primms. Anak tunggal mereka, Josh menemui Lyle selepas mendengar bunyi nyanyian aneh dari loteng rumah mereka.

Sejak itu, mereka mula bersahabat dan akrab. Lyle menjadi peneman Josh dan daripada satu rahsia, Lyle mula diterima oleh ibu dan bapa Josh.

WU (dari kiri) sebagai Mrs Primm, Fegley (Josh), Mendes (suara Lyle) dan Bardem sebagai Hector dalam filem Lyle, Lyle, Crocodile.
WU (dari kiri) sebagai Mrs Primm, Fegley (Josh), Mendes (suara Lyle) dan Bardem sebagai Hector dalam filem Lyle, Lyle, Crocodile.

Dari situ, bermula pengembarangan Lyle bersama keluarga Primms di samping pelbagai insiden serta konflik yang menyentuh jiwa.

Dari segi perkembangan babak, saya berasakan bahawa semuanya tersusun dengan rapi. Tiada babak yang membosankan menurut saya.

Seiring temanya sebagai filem komedi muzikal, saya yakin penonton lain juga tidak kering gusi di samping lagu yang sangat enak didengar.

Dari sudut visual, saya boleh katakan bahawa hasilnya boleh tahan memberangsangkan. Sesekali saya umpama terlupa bahawa watak Lyle itu hanya imej janaan komputer (CGI).

Berbalik kepada emosi, ini antara filem yang menurut saya, benar-benar menyentuh jiwa.

Saya tidak nafikan, ia menggoncang emosi sedih saya dalam satu babak di mana Lyle ditangkap dan perlu dipindahkan ke zoo.

Namun, semuanya berakhir dengan indah dan saya rasa filem ini patut ditonton ramai orang terutama peminat Shawn Mendes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 6:11 AM