Siti Nordiana.
Siti Nordiana.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Siti Nordiana tidak menafikan dia bimbang sekiranya ada babak-babak dalam drama berjudul Aku Seorang Perempuan yang diinspirasikan daripada kehidupan peribadi dan kerjayanya akan dianggap umpama menyelak kisah silamnya.

Bagaimanapun, penyanyi dan pelakon yang mesra disapa Nana itu menyerahkan kepada pengarah, Hashim Rejab untuk bermain dengan kreativiti.

"Saya agak risau juga untuk babak-babak yang mungkin 'daring'. Tapi, sebenarnya benda-benda itu adalah sebahagian daripada kisah saya dan digarap dengan kreativiti pengarah sendiri," katanya.

Nana berkata, dia sebagai pelakon juga faham, pembikinan sesuatu karya drama memerlukan elemen dramatik untuk menjadikan sesuatu jalan cerita lebih menarik.

"Itu adalah karya seni. Takkan orang nak tengok cerita yang mendatar saja. Mesti akan ada naik dan turunnya.

"Watak dan babak dalam drama ini juga ada yang ditokok tambah juga supaya jalan ceritanya menjadi lebih menarik.

"Saya yakin penonton pun faham bahawa babak-babak ini bertujuan untuk menjadikan drama ini lebih seronok ditonton," katanya.

Watak utamanya, Siti Nor Aisya dilakonkan Atikah Suhaime dan diinspirasikan daripada watak Nana.

Selain Atikah, drama bersiri itu juga turut dibintangi Fezrul Khan, Adriana Adnan, Hafidz Roshdi dan ramai lagi.

Drama Aku Seorang Perempuan mula ditayangkan di TV3 pada 19 November lalu, setiap Sabtu dan Ahad, jam 7.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 5:22 PM