Mimi Fly bersama kekasihnya
Mimi Fly bersama kekasihnya
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kadang-kadang saya ada juga menunjukkan komen yang ditinggalkan netizen, dia gelak sajalah."

Demikian kata penyanyi Mimi Fly mengenai maklum balas kekasihnya yang juga doktor pakar tulang, Antonio Rozier apabila mendapat komen nakal membabitkan hubungan mereka.

Mimi, 35, atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham berkata, dia mengambil pendekatan untuk menerangkan sikap segelintir warganet di Malaysia.

"Pernah ada netizen yang memberi komen tidak baik di Instagram saya yang ada foto kami berdua. Kemudian dia membalas komen itu kerana pemahamannya lain. Jadi, saya terangkan baik-baik dan selepas itu dia terkejut.

"Apatah lagi bila dia tahu kita negara Islam, jadi dia menyangka orang kita tidak terlalu terbuka bercakap mengenai sesuatu perkara.

"Lalu saya menerangkan bahawa segelintir netizen di negara ini ada yang suka memberi komen yang melampau. Syukur dia kini faham dengan situasi itu," katanya.

Menurut Mimi, ada ketika dia risau apabila masih wujud komen berunsur negatif setiap kali dia memuat naik hantaran gambar bersama kekasihnya yang juga lelaki kulit hitam.

"Dulu memang tertanya-tanya juga bila ada komen yang bukan-bukan terhadap saya, tapi bila sudah lama dalam industri, saya sudah okay dan tidak terasa sangat. Cuma ada ketika saya tidak nafikan wujud perasaan untuk melindungi kekasih sebab risaukan dia juga.

"Macam saya mungkin sudah tahu cara untuk kawal bila situasi begini berlaku. Tetapi perkara ini baru bagi dia, termasuk penerimaan keluarganya juga. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak terlalu membaca komen sedemikian," katanya.

Terdahulu, menerusi laporan akhbar ini Mimi menafikan khabar angin yang kononnya dia sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu.

Spekulasi itu timbul apabila Mimi bercuti ke kampung halaman kekasihnya itu di Dallas, Amerika Syarikat. Sebelumnya Mimi pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 sebelum bercerai pada November 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:14 PM