SETIAP babak filem Detective Vs Sleuths membuatkan penonton teruja menanti kesudahan.
SETIAP babak filem Detective Vs Sleuths membuatkan penonton teruja menanti kesudahan.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


FILEM: Detective Vs Sleuths

PENGARAH: Wai Ka Fai

PENULIS SKRIP: Wai Ka Fai

PELAKON: Sean Lau, Charlene Choi dan Raymond Lam

TERBITAN: Emperor Motion Pictures, Super Lion dan Miracle Age Pictures

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Satu lagi filem aksi kepolisan dari Hong Kong berjudul Detective Vs Sleuths kini menjengah pawagam seluruh negara bermula 14 Julai lalu.

Secara ringkasnya, filem yang diterajui oleh teraju utama, Sean Lau ini mengisahkan mengenai pembunuhan kejam yang mengejutkan negara itu selama beberapa tahun.

Kumpulan penjenayah yang memperkenalkan diri mereka sebagai The Chosen Sleuths meletakkan hukuman dan keadilan di tangan mereka, sekali gus mencabar polis Hong Kong.

Itu sekali gus memaksa polis mewujudkan pasukan penyiasat mereka sendiri untuk terus menyiasat mengenai kes pembunuhan di samping gerak-geri kumpulan penjenayah terbabit.

Jun Lee lakonan Lau adalah polis yang boleh dilabel sebagai detektif legenda sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana masalah mental.

LAKONAN Lau (kiri) sememangnya tidak pernah mengecewakan.
LAKONAN Lau (kiri) sememangnya tidak pernah mengecewakan.

BABAK tegang dalam Detective Vs Sleuths.
BABAK tegang dalam Detective Vs Sleuths.

Lee yang pernah memegang gelaran The Chosen Sleuth yang sebenar kini hidup sebagai gelandangan.

Pada masa sama, Lee juga ingin membuktikan bahawa dia tidak gila dan dia adalah The Chosen Sleuth sebenarnya kepada polis.

Jadi, dia bekerjasama dengan polis dan menyiasat siapa dalang di sebalik semua jenayah yang dilakukan dan siapa pemain utama di sebalik kumpulan penjenayah itu.

Apa yang boleh saya katakan, filem ini sarat dengan aksi dan penonton tidak perlu menunggu lama untuk menonton babak aksinya.

Setiap babak membuatkan penonton menanti, apa yang bakal berlaku. Itu belum lagi beberapa 'plot twist' yang saya sendiri rasakan sebagai sesuatu yang sukar dijangka.

Lakonan Lau sememangnya tidak pernah mengecewakan. Begitu juga dengan pelakon lain.

Yang agak mengecewakan adalah imej janaan komputer (CGI) yang agak 'kaku', namun bagi saya secara peribadi, tidak mencacatkan perjalanan cerita ini.

Setakat ini, filem ini mencecah jumlah kutipan sehingga lebih RM1.5 juta di Malaysia dan jumlahnya terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 6:49 AM