SHUIB
SHUIB
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelawak Shuib menyifatkan pelakon Zara Zya seorang insan yang manis paras rupa dan baik budi pekerti.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad berkata, dia menyedari usaha dan percubaan warga maya untuk 'menjodohkannya' dengan beberapa rakan industri sejak isterinya, Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia.

"Zara Zya….manis orangnya… Itulah saja apa boleh saya ulas mengenainya. Tiada apa lagi yang boleh dikongsikan pada ketika ini.

"Saya maklum netizen dan orang ramai ingin 'kenenkan' saya dengan rakan industri dan sebagainya. Namun, apa yang boleh saya katakan belum masanya lagi.

"Tidak manis rasanya untuk sering berbicara mengenai perkara ini memandangkan arwah (Siti Sarah) meninggal dunia belum setahun lagi," katanya.

Sebelum ini, Zara Zya memohon doa semua apabila video yang dimuat naik di media sosial bersama pelawak, Shuib menjadi viral.

Malah, netizen seakan-akan merestui hubungan mereka dan mahu menjodohkan kedua-dua selebriti itu. Zara turut memuat naik paparan skrin artikel mengatakan netizen suka melihat mereka berdua di TikTok.

Terdahulu, Sarah melahirkan cahaya mata keempatnya menerusi pembedahan pada 6 Ogos tahun lalu dan diberi nama Ayash Affan.

Sarah disahkan meninggal dunia pada jam 5.13 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 9 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 3:33 PM